Sekilas
- Usahawan Nedim Nazri mempertahankan bekas isterinya, Nora Danish, selepas aktres itu meninggalkan komen berkenaan perniagaan yang perlahan sepanjang Ramadan.
- Nedim menegur netizen yang menyerang Nora dan menegaskan bekas isterinya sedang berubah menjadi lebih baik serta meminta orang ramai tidak mencampuri urusan peribadi Nora.
- Tindakan Nedim mendapat pujian ramai sebagai contoh lelaki matang yang menghormati ibu kepada anak-anaknya walaupun sudah berpisah.
Usahawan Nedim Nazri meraih pujian netizen apabila tampil mempertahankan bekas isterinya, Nora Danish selepas aktres itu meninggalkan komen pada hantaran yang dimuat naik olehnya pada Selasa.
Perbualan antara mereka bermula apabila Nedim berkongsi persoalan mengenai keadaan perniagaan yang dilihat agak perlahan sepanjang bulan Ramadan.
“Saya pelik. Kenapa bulan puasa je semua business mcm slow and tak berapa nak jalan?” tulisnya.
Hantaran itu kemudian mendapat respon Nora Danish yang memberikan sudut pandang berbeza, mengaitkan situasi tersebut dengan fokus umat Islam terhadap ibadah.
“Kerana Allah nak kita concentrate dengan ibadah ;) buang dunia dan focus akhirat. InshaAllah," jawab Nora.
Menjawab komen tersebut, Nedim mengakui pandangan Nora ada benarnya namun menjelaskan bahawa soalan yang dibangkitkannya berkaitan realiti dunia perniagaan.
“Betul lah wahai @noradanish, tapi ni soalan real," balas Nedim lanjut.

Namun situasi menjadi perhatian apabila ada segelintir netizen mula meninggalkan komen yang seakan-akan 'menyerang' Nora.
Tidak berdiam diri, Nedim segera tampil mempertahankan bekas isterinya dan menegur individu yang cuba mencari kesalahan terhadap aktres itu.
“Betul la bekas isteri saya reply tu jangan nak cari salah dia .dia sedang berubah menjadi lebih baik ! Kalau dia mengingati saya alhamdulillah,dan kepada yang lain bagi la jawapan yang korang nak bagi. Jangan persenda kan seseorang,” ujarnya.

Dalam satu lagi komen, Nedim turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mencampuri urusan peribadi Nora.
“Diaorang tu kena check betul betul, happy ke? Puas ke hidup diaorang? Tak payah nak sibuk hal Nora, dia dah besar anak dah dua... Asal kan tidak ada yang nak menyibuk hal dia then I’m ok kalau ada yang mengarut memang aku bantai la," tulis Nedim.


Sikap Nedim yang masih mempertahankan maruah bekas isterinya itu mendapat perhatian ramai sehingga ada netizen menyifatkannya sebagai ‘green flag’, selain memuji kematangannya dalam menjaga hubungan baik walaupun sudah tidak lagi bersama.
Malah, beberapa pengguna media sosial turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai contoh lelaki yang tetap menghormati ibu kepada anak-anaknya, walaupun hubungan perkahwinan mereka telah berakhir.