Sekilas
- Naqiu berkongsi kisah anak keempatnya, Wan Alexander Putra, yang menghidap autisme dan harapannya agar anaknya pergi dahulu sebelum dia.
- Dia risau tentang masa depan Alexander jika dia meninggal dunia dahulu dan mahu masyarakat lebih faham serta sensitif terhadap anak autisme.
- Naqiu juga menceritakan cabaran menjaga Alexander yang kadang-kadang sukar dikawal walaupun sudah berusaha sebaik mungkin.
Penyanyi Naqiu tidak dapat menahan air mata apabila berkongsi tentang kisah anak keempatnya, iaitu Wan Alexander Putra yang menghidap autisme.
Menerusi perkongsian di podcast Kita Kita Aje, Naqiu atau nama lengkapnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 39, berkata dia mahu anaknya itu pergi dahulu sebelum dirinya.
Namun bukan ia bermaksud Naqiu tidak menyayangi anaknya sebaliknya dia enggan membiarkan Alexander rasa kehidupan tanpa ibu bapa.
“Saya harapkan Alexander pergi dahulu sebelum saya, supaya dia tak rasa kehidupan tanpa ibu bapanya. Biar saya sakit kehilangan saya, daripada dia sakit kehilangan saya.
“Saya tak pernah cakap tentang hal ini dekat isteri saya. Tapi kalau dia dengar ini saya minta maaf. Jauh di lubuk hati saya, saya mengharapkan ini,” kongsinya dalam keadaan sebak.
Juara Gegar Vaganza 6 ini juga meluahkan rasa gusar memikirkan tentang masa depan Alexander jika dirinya ditakdirkan meninggal dunia sebelum anaknya itu.
“Saya rela sakit kehilangan daripada dia sakit kehilangan dan juga saya tidak akan tahu bagaimana orang akan melayani dia selepas ini,” ujarnya.
Dalam perkongsian sama, Naqiu menjelaskan tujuan dia berkongsi bukan untuk meraih simpati, sebaliknya mahu membuka mata masyarakat yang masih kurang sensitif terhadap anak-anak autisme.
“Saya pernah kena situasi anak saya ambil makanan orang lain, lepas itu orang marah. Kami dah minta maaf dan cuba jelaskan keadaan dia, tapi ada yang tak nak terima.
"Pada mereka, benda itu boleh dikawal. Tapi hakikatnya, kita yang jaga dia hari-hari pun tak boleh jangka apa dia akan buat.
"Bila ‘angin’ dia datang, kita sendiri pun tak mampu hentikan,” jelasnya lagi.
Mengimbas kembali, Naqiu berkongsi tanda-tanda keistimewaan Alexander sudah mula dikesan sejak kecil, malah ada petunjuk fizikal pada telinga sejak lahir.
“Saya harapkan Alexander pergi dulu sebelum saya.” Luahan yang terlalu berat untuk diucapkan. Apa sebenarnya yang tersimpan di sebalik kata-kata ini? Dengarkan kisah sebenar Naqiu yang penuh emosi dan perjuangan, hanya di Kita Kita Aje Podcast. 📆 Khamis | 2 April 2026 ⏰ 8.00 malam #KitaKitaAjePodcast #Naqiu #PodcastMalaysia