Sekilas
- Fasha Sandha berkongsi rasa sedih kerana kurang masa bersama anak-anak akibat jadual kerja yang padat dan bermula sebelum subuh hingga lewat malam.
- Video pendek yang dikongsi menunjukkan anak bongsunya, Aisha menangis tidak mahu ibu pergi bekerja, membuatkan Fasha terfikir untuk berhenti berlakon demi keluarga.
- Rata-rata netizen memberi sokongan dan berkongsi pengalaman sama di ruangan komen, memahami situasi yang dihadapi Fasha sebagai ibu dan pelakon.
Pelakon, Fasha Sandha mengakui terpaksa akur apabila kurang masa bersama anak-anak kerana sibuk dengan tuntutan dan jadual kerja yang padat.
Fasha berkongsi perkara itu menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya pada Khamis.
Hantaran itu turut disertakan dengan video pendek yang merakamkan anak bongsunya, Aisha Amaira, 5, sedang memeluk Fasha dan menangis kerana tidak mahu melepaskan dirinya pergi bekerja.
Disebabkan momen itu juga, Fasha pernah terfikir untuk berhenti dari dunia seni dan meluangkan masa yang lebih banyak bersama keluarga.
“Ibu minta maaf kerana terlalu banyak bekerja, ibu harap dapat luangkan banyak masa bersama awak sayang,” coretnya.
Video tersebut juga turut memaparkan Fasha sedang memujuk Aisha untuk menghadiri sesi persekolahan.
Fasha berkata momen tersebut berlaku kerana jadual penggambarannya yang bermula sebelum subuh dan berakhir lewat malam menyebabkan dia jarang dapat bertemu dan meluangkan masa dengan anak-anak.
“Inilah akibat selalu keluar subuh (anak masih tidur) dan balik tengah malam (anak sudah tidur).
“Kadang-kadang rasa nak berhenti je berlakon sebab, masa memang tak pernah cukup, tapi ini minat saya…
“Saya sayang anak-anak, Rayfal, Jemyma, Aisha. Ibu minta maaf, terima kasih Firda untuk video kandid ini, kenangan,” tulisnya.
Sementara itu di ruangan komen, rata-rata netizen turut berasa sebak dengan perkongsian Fasha dan memberikan kata-kata semangat kepada pelakon cantik itu.
Malah mereka juga turut memahami situasi yang dialami Fasha dan turut berkongsi pengalaman di ruangan komen berkenaan.
Untuk rekod, Aisha adalah anak Fasha hasil perkahwinan bersama pelakon Aidil Aziz.
Sebelum ini, Fasha memiliki dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu dengan Datuk Rizal Ashram Ramli, iaitu Putra Rayfal, 12, dan Putri Raysha Jemyma, 11.