Skip to main content

Hiburan

Michelle Yeoh Raih Satu Lagi Rekod Peribadi, Nama Diabadi Di Hollywood Walk Of Fame

ASTROGEMPAK Michelle Yeoh

Sekilas

  • Tan Sri Michelle Yeoh, seniwati terkenal dari Malaysia, telah diabadikan namanya di Hollywood Walk of Fame dalam satu majlis gemilang di Los Angeles.
  • Michelle menerima penghormatan itu sebagai pengiktirafan terhadap kerjaya cemerlang dan sumbangannya yang memecah batas dalam industri hiburan dunia.
  • Dalam ucapannya, Michelle mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, dan peminat yang menyokongnya sepanjang perjalanan dari Malaysia ke pentas Hollywood.

Seniwati tersohor dunia kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh terus dihamparkan karpet merah oleh industri perfileman Hollywood apabila namanya diabadikan di Hollywood Walk of Fame pada Rabu.

 

Michelle, anak jati Ipoh, Perak diraikan dalam satu majlis gemilang yang turut dihadiri barisan selebriti terkemuka yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang karier gemilangnya.

 

Berusia 63 tahun, Michelle tampil memukau dalam gaun sutera kuning dan diserikan dengan perhiasan barangan kemas perak serta kasut perak bermotif flora, dengan rambut panjangnya dibiarkan lurus mengurai di bahu. 

 

Penerbit Walk of Fame, Ana Martinez, memuji perjalanan seni Michelle dan menyifatkan bintang itu sebagai penghormatan kepada seorang perintis industri.

 

“Bakat luar biasa, keanggunan dan kerjaya Michelle yang memecah batas telah meninggalkan kesan mendalam dalam industri hiburan. 

 

"Bintangnya mengiktiraf seorang perintis yang terus memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia,” katanya. 

 

Suami Michelle, Jean Todt, tidak dapat hadir pada majlis istimewa itu kerana berada di India atas dalam urusan kerja, seperti disebut pelakon itu.

 

Dalam ucapan yang sama, Michelle menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya atas sokongan sepanjang hidup, serta kepada abang dan kakak iparnya yang terbang dari Malaysia bagi memberi kejutan di majlis tersebut.

 

Michelle juga tidak terlepas daripada mengenang perjalanan panjangnya dari Malaysia ke pentas Hollywood.

 

“Laluan dari Malaysia ke sini bukanlah satu garis lurus. Ada masanya saya tertanya‑tanya sama ada saya benar‑benar layak berada di sini.

 

"Tetapi saya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada kisah‑kisah yang melintasi sempadan dan bahasa,” ujarnya. 

 

Dalam masa sama, Michelle merakamkan penghargaan kepada keluarga pilihan serta rakan-rakan industri yang hadir meraikan detik bersejarah itu.

 

“Kepada anda semua di sini hari ini, keluarga pilihan saya, terima kasih kerana hadir, berdiri bersama saya dan menjadi sebahagian daripada hidup saya bukan hanya pada saat-saat gemilang tetapi juga ketika sunyi. Kehadiran anda amat bermakna,” kata Michelle.

Hollywood Walk of Fame ialah laluan penghormatan yang terletak di Hollywood Boulevard dan Vine Street, Los Angeles dengan menampilkan lebih daripada 2,000 bintang yang diberikan kepada individu atau kumpulan yang memberikan sumbangan besar dalam industri hiburan seperti filem, muzik, televisyen, radio dan teater langsung.

 

Ia diuruskan oleh Hollywood Chamber of Commerce dan setiap bintang mewakili pengiktirafan rasmi terhadap pencapaian dan legasi seseorang artis dalam dunia hiburan.

 

Sumber - AWANI

Anda mungkin berminat dengan

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

WOSADO Magnetic Lash Set

WOSADO Magnetic Lash Set

Must-Watch Video

Advertisement