Primadona Negara, Erra Fazira memberitahu podcast yang dikendalinya bersama suami, Ezwan Zain iaitu ‘Kasi Onz’ bukan sekadar sembang santai, sebaliknya sarat dengan elemen pengajaran dan inspirasi buat pendengar.
Menurut Erra, mereka tidak menetapkan konsep yang terlalu ketat, namun tetap menitikberatkan kandungan yang memberi manfaat.
“Dalam podcast saya dan suami, tak ada benda yang kami tetapkan. Ada la perkara yang boleh dan tak boleh. Tapi kita nak dari sisi pelajaran, apa yang kita dapat.
“Inspirasi dari semua eleman-elemen itu nak masukkan dalam podcast. Jadi, kita boleh cakap apa yang kita nak dan kongsi apa yang bersesuaian dengan target kita,” katanya kepada Gempak.
Erra berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis memperkenalkan duta ACGAS yang berlangsung di Roofino Skydining, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Erra, pemilihan tetamu juga dibuat secara teliti mengikut kesesuaian topik, bukan sekadar menjemput rakan artis semata-mata.
“Kita tengok siapa yang bersesuaian dengan topik yang kita nak. Tak semua kawan-kawan atau artis. Tapi kalau artis pun, dia kena ada sesuatu yang boleh buka minda kita.
“Tak ada la borak kosong sangat. Saya ada la nak panggil antaranya Mdno. Saya suka nak memberi inspirasi macam abang Gen Z kita tu,” katanya lagi.
Selain itu, Erra turut terbuka menjemput tokoh agama seperti Ustaz Shamsul Debat untuk berkongsi pandangan khususnya berkaitan kehidupan berumah tangga.
“Kalau dari sudut rumah tangga dalam keadaan santai, Ustaz Shamsul Debat ke… boleh buka minda saya sebagai seorang wanita bekerjaya dan dia (suami) yang dah lama single nak bersama,” katanya lagi.