Lelaki berketurunan Tionghua yang dikenali ramai kerana membesarkan tiga beradik yatim piatu Melayu, Michael Tong Wai Siong atau lebih mesra disapa Uncle Mike mengakui status bujang yang disandangnya tidak pernah menjadi beban.
Sebaliknya, Uncle Mike, 56, berkata dia berasa cukup bersyukur kerana dikurniakan anak angkat serta cucu angkat yang menjadi pelengkap hidupnya.
Advertisement
“Jodoh itu urusan Tuhan. Bagi saya, hati saya sekarang sudah ada dengan cucu saya. Hasrat utama saya hanyalah mahu melihat anak-anak saya membesar dengan baik, penuh kasih sayang, dan harap mereka bahagia.
“Kalau betul ada jodoh yang Tuhan tetapkan, saya terima. Kalau tidak ada pun, saya sudah pun melepasi setengah abad. Jadi tak fikir sangatlah soal itu. Kalau orang kata nak kongsi satu bantal tu, bukan mudah sebenarnya,” katanya kepada Gempak.
Tambah Uncle Mike lagi, dia tidak pernah menyalahkan takdir apabila tidak bertemu pasangan hidup kerana percaya setiap perjalanan hidup manusia sudah ditentukan dengan maksud yang berbeza.
“Tak semestinya bila Tuhan tak bagi kita jodoh, kita perlu marah pada-Nya. Tuhan sudah aturkan cerita hidup kita.
“Bila saya tak diberi jodoh, saya diberi tiga orang anak. Walaupun mereka sudah besar, saya tahu mereka meletakkan saya di satu tempat yang istimewa dalam hati mereka,” katanya.
Biarpun tidak mendirikan rumah tangga, Uncle Mike tetap merasa lengkap dengan kehadiran anak-anak angkat serta cucu-cucu yang menjadi kekuatan dan semangat dalam hidupnya.
“Saya sangat bersyukur. Walaupun tidak diberi jodoh, saya tetap ada tiga anak dan dua cucu yang sentiasa memberi galakan serta menjadi nyawa saya,” jelasnya lagi.
Sementara itu, kisah pengorbanan Uncle Mike diangkat ke layar perak menerusi filem Abah Saya Uncle Mike yang mula ditayangkan di pawagam pada 28 Ogos lalu.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn. Bhd. itu diadaptasi daripada kisah benar bagaimana Uncle Mike membesarkan tiga anak yatim piatu Melayu sejak kecil, lengkap dengan bimbingan rohani serta penghormatan terhadap agama Islam.
Dedikasi beliau turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas jasa dan pengorbanannya.
Menampilkan Andy Teh bersama pelakon muda berbakat besar seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, filem tersebut mengetengahkan tema kekeluargaan dan semangat perpaduan dengan mesej bahawa kasih sayang sejati tidak mengenal warna kulit atau darah daging.