Sekilas
- Filem Malaikat Malam mendapat pujian kerana jalan cerita segar dan gandingan romantis Syafiq Kyle serta Tracie Sinidol yang menyentuh emosi penonton.
- Filem ini mengisahkan kehidupan seorang pelumba jalanan, Azam, yang berubah selepas kemalangan dan menampilkan konflik serta drama yang mendalam.
- Tiket sudah boleh didapati di pawagam seluruh negara, dengan sokongan kuat dari pengarah muda dan barisan pelakon mantap yang memberi nafas baru kepada genre filem permotoran.
Filem Malaikat Malam mendapat respon positif daripada rata-rata peminat yang menyifatkan filem tersebut sebagai mengimbau kembali kenangan mereka yang sudah sekian lama tidak menonton filem berkisarkan dunia permotoran.
Bukan sahaja jalan cerita yang ‘fresh’ malah rata-rata penonton memuji gandingan hero dan heroin bagi filem ini iaitu Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol yang penuh dengan elemen romantis.
Menerusi perkongsian seorang individu di Threads, babak-babak cinta yang dipaparkan dalam Malaikat Malam begitu sarat dengan emosi, meskipun keseluruhan cerita berlatarbelakangkan dunia rempit.
“Aku sebenarnya suka part romance tu, sebab dia bagi vibe filem cintan-cintun indie Melayu tapi dalam setting dunia rempit,” katanya.
Tambahnya, gandingan para pelakon yang lain juga
dilihat berjaya menghidupkan jalan cerita dengan baik, sekali gus membuatkan emosi penonton lebih terkesan sepanjang tayangan.
Individu tersebut turut memuji buah fikiran penulis dan pengarah yang telah menghasilkan filem berkisarkan dunia permotoran yang sangat dekat dengan jiwa masyarakat.
“Apa yang aku suka tentang Malaikat Malam ni tentang semangat membikin filem generasi pembikin filem baru. Mungkin audience tak boleh relate pasal ni, tapi aku boleh rasa semangat dorang sampai ke luar dari skrin.
“Korang memang pull it off, nak bikin filem racing bukan mudah wei. They deserve my support and respect,” katanya lagi.
Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna. Ia menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Namun, apabila dendam lama, pengkhianatan dan tragedi mula menghimpit, Azam terpaksa berdepan dengan realiti yang tidak dapat dielakkan.
Filem yang mendapat sentuhan pengarah muda, Nazifdin Nasrudin menampilkan pelakon versatil Syafiq Kyle sebagai Azam, seorang pelumba jalanan dengan konflik emosi di sebalik kehidupan berisiko. Menerusi watak Azam, Syafiq Kyle buat pertama kalinya menyahut cabaran membawakan karakter seorang ‘mat rempit’, memperlihatkan transformasi lakonan yang lebih berani dan berbeza daripada penampilan sebelum ini.
Turut menampilkan barisan pelakon mantap, termasuk Tracie Sinidol sebagai gadis buta, yang membawa dimensi tersendiri kepada cerita, serta kemunculan semula Que Haidar ke layar perak yang dinantikan ramai. Pelakon lain yang mencuri tumpuan ialah Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf dan Riezman Khuzaimi, yang menjanjikan kombinasi watak yang bertanaga dan meninggalkan kesan.
Tiket filem Malaikat Malam sudah boleh didapatkan di seluruh pawagam berdekatan anda bermula hari ini. Gunakan #MalaikatMalam2026 di semua platform digital dan ikuti perkembangan dan info terkini filem di akaun media sosial Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studios.