Sekilas
- Arena Wan kini semakin dikenali sebagai penghibur serba boleh dengan tawaran tiga drama musikal yang memerlukan lakonan, nyanyian, dan tarian.
- Beberapa produksi juga menawarkan Arena peluang menyanyikan lagu tema drama selain menjadi watak utama.
- Arena turut terlibat dalam filem Chelot dan akan memegang watak utama dalam drama musikal remaja Vokal Lit menjelang Ramadan.
Nama Arena Wan semakin hangat dalam industri hiburan apabila bakatnya bukan sahaja dipandang sebagai pelakon, malah kini mula diiktiraf sebagai penghibur serba boleh.
Selepas kejayaan drama bersiri Generasi Perfect 10, Arena mendedahkan dirinya menerima lambakan tawaran baharu termasuk tiga drama musikal dalam satu masa. Tawaran tersebut bukan sekadar memerlukan lakonan, malah menuntutnya menyanyi dan menari di hadapan kamera.
“Alhamdulillah baru-baru ini, saya menerima tiga buah tawaran drama musikal, di mana saya perlu berlakon, menyanyi dan menari. Kesemua tawaran tersebut memang sangat menari, Namun selepas berbincang dengan pengurus saya, kami terpaksa memilih satu sahaja atas faktor tempoh penggambaran yang lebih singkat dan fleksibel," jelasnya.
Lebih mengejutkan, Arena turut mendedahkan beberapa produksi bukan sahaja mahu dia sebagai watak utama, malah turut menawarkan peluang menyanyikan lagu tema drama tersebut.
“Saya memang suka menyanyi, selain berlakon. Malah dulu saya kerap muat naik video nyanyian saya di laman sosial. Titik permulaannya, bila Penerbit drama Generasi Perfect 10 turut menawarkan rakaman EP untuk drama tersebut berjudul Perfect," katanya.
Hal ini membuktikan Arena bukan sekadar wajah cantik di kaca televisyen, tetapi memiliki pakej lengkap sebagai pelakon dan penyanyi.
Dalam masa sama, Arena juga tidak melepaskan peluang menimba pengalaman di layar perak apabila terlibat dalam filem Chelot arahan pengarah tersohor Adrian Teh.
“Saya sangat bersyukur diberikan peluang bekerjasama dengan Adrian. Walaupun hanya cameo, namun ia adalah impian saya. Insyallah, di masa akan datang, saya mahu lebih kerap berlakon filem pula," ujarnya.

Jadual Arena dilihat semakin padat menjelang Ramadan apabila dia bakal memegang watak utama dalam drama musikal remaja berjudul Vokal Lit, yang menuntutnya mempamerkan bakat nyanyian dan tarian secara maksimum.