Sekilas
- Majlis pernikahan dan resepsi Didi Astillah serta Diniey Ng di Cyberview Resort & Spa disiapkan dalam tempoh kurang tiga minggu dengan tema berbeza untuk akad nikah dan resepsi.
- Perancang acara, Cammy Zuhairi, menghadapi cabaran seperti tok kadi lewat dan cuaca panas namun berjaya memastikan majlis berjalan lancar tanpa menimbulkan tekanan kepada pengantin dan keluarga.
- Kejayaan majlis bukan sahaja pada dekorasi cantik, tetapi juga pengurusan situasi tidak dijangka oleh pasukan di belakang tabir demi pengalaman terbaik pengantin dan tetamu.
Majlis pernikahan dan resepsi penyanyi Didi Astillah bersama pilihan hatinya, Diniey Ng, baru-baru ini bukan sahaja mencuri perhatian ramai kerana dekorasinya yang indah, malah turut tular di media sosial.
Namun di sebalik dua majlis yang berlangsung penuh elegan di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya itu, tersimpan satu kisah yang mungkin tidak diketahui ramai.
Rupa-rupanya keseluruhan perancangan majlis tersebut disiapkan dalam tempoh kurang tiga minggu.
Pengasas Ryns Avenue Group, Cammy Zuhairi berkata, kepercayaan untuk menguruskan keseluruhan majlis diberikan oleh Didi, kakaknya Bella Astillah dan keluarga selepas mereka bertemu ketika berada di Jepun sebelum persiapan dimulakan pada awal Jun.
"Saya diberi kepercayaan oleh Didi, Bella dan keluarga untuk menjayakan majlis ini dalam tempoh kurang daripada tiga minggu.
"Walaupun tempohnya singkat, kami cuba memastikan setiap perincian berjalan seperti yang dirancang," katanya.
Majlis akad nikah yang berlangsung pada sebelah pagi mengangkat tema From Summer's First Light dengan konsep serba putih, manakala resepsi pada sebelah malam pula diinspirasikan daripada musim luruh menerusi tema We 'Fall' in Love.
Lebih mengujakan, majlis berkenaan turut dihadiri beberapa tetamu kenamaan termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Tok Kadi Lewat, Cuaca Pula Semakin Panas
Walaupun majlis kelihatan berjalan lancar di mata tetamu, Cammy mendedahkan mereka sebenarnya berdepan beberapa cabaran pada hari berlangsungnya akad nikah.
Antaranya apabila tok kadi difahamkan tiba lewat daripada jadual asal, manakala cuaca pula semakin panas.
Namun, beliau memilih untuk tidak membiarkan situasi tersebut menimbulkan rasa panik dalam kalangan keluarga pengantin.
"Ramai yang risau tok kadi lambat dan cuaca semakin panas.
"Saya cuma tenangkan mereka dan kata cuaca panas masih boleh diurus. Yang penting perjalanan majlis berjalan seperti dirancang.
"Kalau hujan, cabarannya jauh lebih besar kerana melibatkan pergerakan tetamu, dekorasi serta keseluruhan operasi majlis," katanya.
Menurut Cammy, perkara paling penting bagi seorang perancang acara ialah memastikan pengantin dan keluarga tidak merasai tekanan yang berlaku di belakang tabir.
"Dalam majlis pernikahan, setiap minit itu penting. Bila berlaku kelewatan, kita tak boleh terus panik sebab nanti semua orang akan rasa tekanan itu.
"Tugas kami adalah memastikan keadaan kekal tenang dan pengantin tidak terganggu dengan apa yang berlaku di belakang tabir," katanya.
Tambahnya, dekorasi yang cantik hanyalah sebahagian daripada tugas seorang perancang acara.
Sebaliknya, kejayaan sebenar sesebuah majlis terletak pada kemampuan pasukan menguruskan pelbagai situasi tidak dijangka tanpa menjejaskan pengalaman pengantin dan tetamu.
"Kadang-kadang cabaran paling besar bukan perkara yang orang nampak.
"Tetapi apabila semua tetap nampak tenang dan berjalan lancar, itu sebenarnya kerja pasukan di belakang tabir," katanya.
Menurut Cammy, setiap majlis mempunyai cabarannya yang tersendiri, namun kepercayaan yang diberikan oleh keluarga Didi menjadi tanggungjawab besar untuk memastikan hari bahagia pasangan itu berjalan dengan sempurna.