Sekilas
- Afieq Shazwan mengakui dia ada rasa takut untuk berumah tangga selepas terlibat dengan watak drama yang berkisarkan konflik rumah tangga dan melihat kes perceraian di sekelilingnya.
- Walaupun begitu, Afieq menyerahkan segalanya kepada Allah dan masih ada keinginan untuk membina keluarga, sambil mengakui umur sudah 29 tahun dan ramai rakan sudah berkahwin.
- Afieq juga berkongsi dia tertarik dengan wanita yang mempunyai kerjaya sendiri supaya kedua-dua pihak boleh fokus pada impian dan tanggungjawab sebagai suami isteri.
Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan mengakui timbul perasaan takut dalam dirinya untuk berumah tangga lebih-lebih lagi selepas menjayakan watak dalam sebua drama.
Menurut Afieq atau nama lengkapnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, konflik rumah tangga yang sering berlaku sejak kebelakangan ini juga menjadi faktor mengapa dirinya seakan takut untuk berumah tangga.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Lelaki Di Telefon ini memaklumkan dia menyerahkan segalanya kepada Allah SWT kerana tetap mempunyai keinginan untuk mempunyai keluarga sendiri.
“Umur saya sudah masuk 29 tahun, kalau tengok kawan-kawan saya yang penyanyi, pelakon, semua sudah berkahwin dan ada yang mempunyai anak.
“Boleh dikatakan saya ada sedikit takut bila adanya kes-kes perceraian malah dalam keluarga saya sendiri pun alami perkara itu. Anak dah ramai, tapi bila berpisah rasa tak seronok sebab perpisahan ayah dan ibu dengan cara bercerai hidup.
“Cuma saya jadikan ia (watak) sesuatu yang boleh dikaitkan dengan diri.
“Tapi tidaklah terlalu takut sangat fasal kahwin ni. Ini semua kehendak Allah. Kalau nak kata jodoh, jodoh juga. Kalau mungkin jodoh tak panjang pun itu semua memang sudah tertulis,” katanya kepada Gempak.
Bercakap mengenai ciri-ciri wanita pilihannya, Afieq mengakui dia tertarik dengan wanita yang mempunyai kerjaya.
“Saya kalau boleh saya nak wanita yang ada kerjaya dia sendiri.
“Biar sama-sama ada kerjaya supaya masing-masing akan sibuk. Bukanlah bermaksud abaikan rumah tangga, tetapi supaya masing-masing ada benda yang nak fokus.
“Kita ada impian tapi pada masa yang sama tahu tanggungjawab sebagai suami dan isteri,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai guruannya ketika menjadi tetamu program MeleTOP Raya bersama Wani Kayrie baru-baru ini, Afieq menjelaskan apa yang dikatakan ketika itu hanyalah konten semata-mata.
“Saya anggap ia sebagai konten. Tapi disebabkan usikan ini, mungkin ada pihak yang mengambil sebagai sesuatu yang serius. Tapi apa-apa pun, doakan yang baik-baik.
“Sejujurnya saya dengan Wani memang dah berkawan lama dan rapat. Pernah berlaku macam-macam konflik dan isu di antara saya dengan dia.
“Mungkin ada rezeki, saya akan umumkan jika ada hubungan istimewa atau perkara lain,” ujarnya.