Sekilas
- Lee Je Hoon akan mengadakan fan meeting khas di Kuala Lumpur pada 11 April 2026 untuk meraikan 20 tahun kerjaya seni beliau.
- Acara ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi interaksi, persembahan khas, dan pakej tiket eksklusif dengan faedah seperti sesi hi-touch dan bergambar 1:1.
- Harga tiket bermula dari RM398 hingga RM4,988 dan jualan tiket dibuka pada 25 Februari 2026 melalui beberapa platform dalam talian.
Peminat drama Korea di Malaysia bersiap sedia kerana pelakon terkenal Korea Selatan, Lee Je Hoon bakal kembali menemui peminat tempatan menerusi acara istimewa sempena ulang tahun ke-20 penglibatannya dalam industri hiburan.
Menerusi acara bertajuk 2026 LEE JE HOON FANMEETING [Our 20th Moment] in Kuala Lumpur, aktor berusia 41 tahun itu akan berinteraksi secara lebih dekat bersama peminat pada 11 April 2026, jam 6 petang di Zepp Kuala Lumpur.
Fan meeting ini dianjurkan oleh Shanghai SanYanSiYu Cultural Creativity dan dianjurkan bersama oleh TopGallant Show sebagai tanda penghargaan terhadap dua dekad perjalanan seni Lee Je Hoon serta sokongan berterusan peminatnya di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Sejak kebelakangan ini, Lee Je Hoon terus meraih perhatian menerusi watak utama dalam drama hit tiga musim, Taxi Driver. Persembahan cemerlangnya membolehkan beliau meraih Anugerah Drama SBS – Grand Prize (Daesang) pada 2023 dan 2025, selain menerima Top Excellence Award pada 2021.

Selain itu, beliau turut dikenali menerusi drama popular Signal (2016) yang mendapat penarafan tinggi dan bakal kembali dengan musim kedua pada tahun ini.
Perjalanan seni Lee Je Hoon bermula menerusi filem indie Bleak Night (2011) sebelum melonjak populariti menerusi filem box-office Architecture 101 (2012). Antara karya lain yang mencuri perhatian termasuk Move to Heaven (2021), Chief Detective 1958 (2024) serta filem Escape (2024).
Acara fan meeting ini dijangka menjadi momen penuh emosi buat peminat apabila Lee Je Hoon akan berkongsi detik istimewa sepanjang 20 tahun kariernya. Peminat juga boleh menantikan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan khas serta sesi interaksi eksklusif.
Menariknya, pakej tiket turut disertakan dengan pelbagai faedah peminat seperti sesi sound check, hi-touch, peluang bergambar 1:1, sesi foto berkumpulan, poster bertandatangan serta polaroid eksklusif bergantung kepada kategori tiket yang dipilih.
Harga tiket bermula daripada RM398 sehingga RM4,988 bagi kategori VIP Box. Jualan tiket akan dibuka bermula 25 Februari 2026 jam 12 tengah hari menerusi fantopia.io, my.trip.com dan www.ctrip.com.
Bagi peminat setia Lee Je Hoon, acara ini pastinya peluang keemasan untuk meraikan perjalanan seni aktor kesayangan ramai itu secara lebih dekat dan eksklusif. April ini, Kuala Lumpur bakal menjadi saksi satu lagi momen istimewa dalam karier gemilangnya.
