Skip to main content

Festival

Lebih Daripada Festival, Makar Fest XL Jadi Ruang Seni, Keluarga dan Komuniti

makar_xl

Sekilas

  • Makar Fest XL adalah festival yang menggabungkan seni, muzik, dan aktiviti kekeluargaan sambil memberi fokus kepada pembangunan komuniti dan sokongan kepada usahawan serta penggiat seni tempatan.
  • Festival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan persembahan artis tempatan seperti Kugiran Masdo dan Sabri Yunus, serta menyediakan ruang untuk pembelajaran santai dan dialog anak muda.
  • Sokongan korporat seperti CelcomDigi membantu menjadikan Makar Fest XL platform penting untuk generasi muda berkarya, berhubung, dan membina komuniti sambil mengekalkan identiti budaya tempatan.

Di sebalik kemeriahan muzik, seni dan aktiviti kekeluargaan, Makar Fest XL tampil dengan misi yang lebih besar apabila dijadikan platform untuk membina komuniti serta menghargai seni dan budaya tempatan.

Tidak jauh berbeza daripada penganjuran terdahulu, Makar Fest XL hadir sebagai evolusi festival yang bukan sahaja diperbesarkan dari segi skala, malah diperkukuh dari sudut matlamat dan impaknya terhadap komuniti, khususnya usahawan kecil, peniaga tempatan dan penggiat seni.

Menurut Pengarah Festival Makar Fest yang mewakili penganjur utama, Issey Fazlisham, Makar Fest XL diwujudkan sebagai titik pertemuan antara seni, keluarga dan komuniti.

“Makar Fest XL bukan tentang jadi lebih besar, tetapi tentang jadi lebih bermakna. Kami mahu komuniti diberi ruang untuk berniaga, berkongsi idea dan membina jenama mereka sendiri.

“Sepanjang tiga hari penganjuran Makar Fest, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk pengunjung dari semua peringkat umur. Kami menjemput orang ramai, terutamanya pelancong luar, untuk menikmati keunikan dan keceriaan Kelantan sambil merasai pengalaman festival yang meriah ini.

“Seiring dengan itu, Makar Fest XL tidak sekadar menumpukan kepada jualan harian, sebaliknya membantu peniaga dan penggiat seni membina nama produk mereka untuk terus dikenali agar lebih berjaya masa depan.

“Bagi kami, apabila komuniti ini diberi ruang yang betul, mereka akan lebih yakin untuk membina branding mereka sendiri,” ujarnya.

Bagi menambah kemeriahan festival, Makar Fest XL turut menampilkan barisan artis dan penggiat seni tempatan yang menghiburkan pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Antara artis yang bakal memeriahkan festival ini ialah Kugiran Masdo, Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang dan Wargaswara. Kehadiran mereka bukan sahaja menghidupkan suasana festival, malah membuka ruang kepada penggiat seni tempatan untuk berkarya dan menjana pendapatan dalam ekosistem hiburan yang sihat.

Selain itu, penganjur turut menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan serta pengisian positif bagi memastikan festival berskala besar ini kekal selamat dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Menyentuh tentang pengisian positif, Makar Fest XL turut mengetengahkan elemen pendidikan santai menerusi sesi dialog anak muda, perkongsian pengalaman hidup dan perbincangan realiti kehidupan yang disampaikan secara tak formal agar mudah didekati,” ujarnya.

Walaupun berkembang sebagai festival besar dan menjadi rujukan penganjur acara lain, Makar Fest XL tetap mengekalkan identiti tempatan sebagai teras utama menerusi penglibatan vendor dan penggiat seni tempatan.

“Kami berkembang ke hadapan tanpa meninggalkan identiti asal. Ilmu tidak semestinya di dalam bilik kuliah, dan festival seperti Makar Fest XL ini juga boleh menjadi ruang pembelajaran yang sihat untuk semua,” tambahnya.

Kejayaan penganjuran Makar Fest XL turut menarik sokongan syarikat korporat apabila CelcomDigi tampil menyokong festival berkenaan, selain sokongan bersama Madoo Bee dan beberapa produk tempatan lain.

Menurut Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling, pihaknya melihat Makar Fest XL sebagai manifestasi budaya belia masa kini yang dinamik, kreatif dan berteraskan ekspresi diri.

“Festival ini memberi ruang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat mereka dalam seni, muzik, dan budaya kontemporari.

“Sebagai sebahagian daripada aspirasi CelcomDigi untuk memperjuangkan kesalinghubungan dan keterangkuman, kami berbesar hati menjadi platform yang relevan untuk generasi muda berkarya, berhubung, dan membina komuniti,” katanya.

Antara faktor utama yang menarik perhatian penaja adalah kejayaan Makar Fest XL membuktikan bahawa festival hiburan bukan sekadar pentas persembahan, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin ekonomi yang membina komuniti dan membuka peluang rezeki tanpa mengorbankan nilai serta identiti tempatan.

Sebagai rekod, sepanjang tahun 2025, Makar Fest anjuran Red Bean Agency dengan kerjasama Sunburst KL mencatat kejayaan membanggakan menerusi penganjuran berperingkat di beberapa lokasi strategik. Festival ini bermula di Kota Bharu pada Januari, disusuli Kuala Terengganu pada Mei, Johor Bahru pada Ogos dan kemuncaknya menerusi Malaysia Sarong Music Run di Port Makar Fest KLCC pada September.

Must-Watch Video

Advertisement