Skip to main content

Viral

Lancar Lagu 'Vibes Hari Raya', Irene Catalina Bukan Nak Bersaing Dengan Penyanyi Lain - "Ia Lebih Kepada Kepuasan Diri"

Astro Gempak irene

Sekilas

  • Irene Catalina dan Nuim melancarkan single duet terbaru berjudul Vibes Hari Raya yang menampilkan rentak ceria dan moden sesuai dengan suasana Aidilfitri masa kini.
  • Lagu ini merupakan lagu raya pertama Irene sepanjang bergelar penyanyi dan digubah oleh Bendittho, mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.
  • Vibes Hari Raya telah dilancarkan di platform digital termasuk Spotify dan YouTube pada 21 Februari 2026, dengan harapan dapat menyemarakkan semangat serta keceriaan Hari Raya.

Musim lagu raya kembali meriah apabila penyanyi Irene Catalina dan Nuim turut sama memeriahkan sambutan dengan single duet terbaharu berjudul Vibes Hari Raya. Lagu terbitan 78 Empire Records itu tampil dengan rentak ceria dan moden, sesuai dengan suasana Aidilfitri masa kini.

Bagi Irene, 48, lagu ini cukup istimewa kerana ia merupakan lagu raya pertamanya sepanjang bergelar penyanyi.

"Lagu Vibes Hari Raya sangat istimewa buat saya, tambahan lagi ia menononjolkan bunyian yang segar, sesuai dengan generasi masa kini. Penceritaannya menggambarkan suasana sambutan Hari Raya generasi sekarang yang lebih moden dan meriah.

"Contohnya, tradisi seperti memberi duit raya masih diamalkan sehingga kini cuma ada yang sudah menggunakan teknologi memindahkan wang secara imbasan QR. Dari segi muziknya pula, ia rancak dan catchy, mudah diikuti serta sesuai untuk semua orang menyanyi bersama,” katanya kepada Gempak.

Menurut Irene, kolaborasi bersama Nuim bukan sesuatu yang asing kerana penyanyi itu sebelum ini banyak memberi sokongan terhadap perjalanan seninya.

“Nuim telah banyak memberi sokongan kepada saya sejak single pertama saya Mau Apa Lagi sebelum ini. Selain itu, Nuim mempunyai tone suara yang tinggi dan unik berbanding artis lelaki lain. Jadi, saya rasa memang sesuai untuk digandingkan dengan saya dalam lagu raya ini,” jelasnya.

Walaupun ramai artis lain turut melancarkan lagu raya tahun ini, Irene tidak melihat situasi tersebut sebagai satu persaingan.

“Saya tidak melihatnya sebagai persaingan kerana lagu raya ini lebih kepada kepuasan diri kerana selama ini saya banyak menyanyikan lagu orang lain. Kali ini saya berpeluang membawakan lagu raya sendiri, Saya hanya mahu berkongsi kegembiraan dengan para pendengar,” kata artis naungan 78 Empire Records itu.

Mengulas tentang proses pembikinan lagu, Irene memberitahu keseluruhan proses mengambil masa kira-kira dua bulan. Lagu tersebut digubah dan ditulis oleh Bendittho atau Addiq Afdzal, komposer yang sama menghasilkan lagu Mau Apa Lagi.

“Proses menyiapkan lagu ini secara keseluruhan mengambil masa lebih kurang dua bulan. Lagu ini digubah oleh Bendittho - masih komposer yang sama seperti untuk lagu Mau Apa Lagi. Alhamdulillah, kerja jadi lebih mudah kerana beliau sudah memahami karakter dan kesesuaian suara saya.

“Di sebalik keseronokan menghasilkan lagu raya ini, ada juga cabarannya iaitu untuk membawa karakter yang ceria dan fun. Lagu ini memerlukan saya tampil lebih bertenaga dan kedengaran playful. Untuk melakukannya, saya telah mengikuti latihan vokal secara profesional. Saya banyak belajar dan seronok menikmati proses rakaman lagu ini.

“Saya harap orang ramai dapat menikmati lagu ini dan sama-sama merasai semangat serta keceriaan Hari Raya. Just feel the vibes of Hari Raya!,” ujar Irene penuh teruja.

Sementara itu, Nuim turut berkongsi keterujaannya dapat bekerjasama dengan Irene dalam projek tersebut.

“Saya sangat bersyukur dan teruja dapat melancarkan lagu ini. Setiap proses daripada idea, rakaman hingga ke pelancaran memberi pengalaman yang sangat bermakna buat saya. Lagu ini bukan sekadar karya, tetapi juga refleksi perjalanan dan emosi yang ingin saya sampaikan kepada pendengar.

“Bekerjasama dengan Irene adalah satu pengalaman yang sangat menyenangkan kerana beliau seorang yang profesional dan komited. Irene juga sangat fokus ketika bekerja demi memastikan hasil yang terbaik. Dari segi kreativiti, beliau juga banyak memberi idea yang segar dan membantu menaikkan lagi kualiti lagu ini. Saya sangat menghargai peluang untuk bekerjasama dan berharap dapat berkolaborasi lagi pada masa akan datang.

“Semoga lagu raya ini dapat diterima baik dan memberi impak positif kepada semua yang mendengar, Insya-Allah,” katanya.

Untuk makluman, Nuim sebelum ini pernah menyertai beberapa program realiti seperti I Can See Your Voice Malaysia, All Together Now Malaysia, 123 Glamour, Astro Gimme The Mic dan Asean Suara Semua Carnival.

Lagu Vibes Hari Raya mula dilancarkan di platform digital termasuk Spotify bermula 21 Februari 2026, manakala lirik video rasmi terbitan 78 Empire Records turut dilancarkan di YouTube pada tarikh yang sama.

 

Anda mungkin berminat dengan

𝗧𝗔𝗦𝗕𝗜𝗛 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 LCD Finger Counter Random Color Mini Handheld Electronic

𝗧𝗔𝗦𝗕𝗜𝗛 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 LCD Finger Counter Random Color Mini Handheld Electronic

Medicube Toner Pad Set

Medicube Toner Pad Set

Ajwa Vip Almadinah Kurma Jumbo Dates

Ajwa Vip Almadinah Kurma Jumbo Dates

Rendang Nyet Berapi Khairul Aming (Buy 5 FREE 1)

Rendang Nyet Berapi Khairul Aming (Buy 5 FREE 1)

POP MART CRYBABY Pendant

POP MART CRYBABY Pendant

Must-Watch Video

Advertisement