Sekilas
- Mira Filzah menjelaskan dia tidak sombong seperti yang didakwa selepas namanya dipetik di Threads berhubung sikapnya di hadapan pusat beli-belah.
- Pelakon itu sedang fokus penggambaran drama "Madu Bukan Pilihan" ketika kejadian dan menegaskan selebriti juga perlukan ruang dan masa untuk diri sendiri.
- Mira memilih untuk tidak membaca komen negatif demi menjaga kesihatan mental dan kini membintangi drama "Aku Pilih Pelangi" yang distrim di Viu.
Pelakon, Mira Filzah tampil menjelaskan dirinya susulan namanya yang dipetik di Threads kerana didakwa bersikap sombong dengan orang awam di hadapan sebuah pusat beli-belah.
Mira atau nama penuhnya Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia memahami setiap individu berhak memberikan pandangan, namun menegaskan dirinya sentiasa cuba melayan peminat sebaik mungkin.
“Sebenarnya kita berada di zaman media sosial, di mana sesiapa sahaja boleh memberi pandangan masing-masing. Saya tak boleh menghalang mereka untuk berkongsi atau menceritakan pengalaman dengan sesiapa. Tetapi bagi saya, saya sudah cuba sehabis baik untuk melayan orang yang ingin bergambar dengan saya. Namun, kita juga berdepan dengan pelbagai situasi,"katanya kepada Gempak.
Menjelaskan situasi tersebut, Mira berkata ketika kejadian itu berlaku, dia sedang menjalani penggambaran drama berjudul Madu Bukan Pilihan bersama pelakon Hun Haqeem dan tidak menyedari kehadiran individu berkenaan.
“Saya ada baca, dia bercerita tentang situasi berjumpa dengan saya di hadapan Lotus. Ketika itu sebenarnya saya sedang dalam penggambaran bersama Hun Haqeem untuk drama Madu Bukan Pilihan. Saya tak ingat sangat situasi ketika itu. Mungkin saya sedang fokus penggambaran atau tak perasan kalau dia memanggil dari jauh. Apa pun, saya harap masyarakat tidak mudah percaya pada satu perkara sahaja kerana kita bertemu orang dalam pelbagai keadaan,"ujarnya.
Dalam masa sama, Mira berkata ada situasi yang membuatkan selebriti tidak dapat berinteraksi seperti biasa terutama ketika penat atau memerlukan ruang sendiri.
"Contohnya, kalau dalam kapal terbang, bila saya nak masuk, saya cuma nak tidur. Kadang-kadang kita tak pakai solekan, kita perlukan ‘me time’. Tak senyum itu bukan bermaksud tak ramah. Ada masanya kita baru habis bekerja dan penat, terutama kalau sehari itu saya jalani babak yang berat. Mungkin situasi ketika itu tidak sesuai atau saya sendiri tak perasan. Dalam banyak keadaan, kita tak boleh terus menghakimi orang,"jelasnya.
Bagaimanapun, Mira mengakui terkejut apabila namanya dipetik, namun memilih untuk tidak membaca lebih lanjut demi menjaga kesihatan mentalnya.
“Saya terkejut bila nama saya dipetik, tetapi bagi saya perkara ini biasa sahaja bagi sesiapa pun. Kalau kita lihat di bawah, ada juga nama orang lain disebut. Namun, untuk kesihatan mental, saya pilih untuk baca satu sahaja. Kadang-kadang lebih baik tidak membaca demi menjaga emosi, supaya tidak berfikir berlebihan, terutama sekarang saya seorang ibu dan tak mahu perkara itu terbawa-bawa ke rumah. Saya percaya dengan apa yang saya lakukan,"katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Mira Filzah turut membintangi drama Aku Pilih Pelangi, sebuah siri 12 episod yang turut dibintangi Zahiril Adzim dan Noki K-Clique, yang mula distrim di aplikasi Viu sejak 16 April 2026, setiap Khamis dan Jumaat.