Skip to main content

Viral

Lagu 'Dentam Dentum Raya' Viral, Jaja Ishak Hasilkan Filem Pendek Raya - "Saya Mahu Jemput Anak Seni Pahang Terlibat Sama..."

Astro Gempak jaja pahang

Sekilas

  • Jaja Ishak bakal menghasilkan filem pendek Aidilfitri bertajuk Sujudku Di Akhir Ramadan dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang selepas lagu raya Dentam Dentum Raya mendapat sambutan hangat.
  • Filem pendek ini mengisahkan seorang ketua keluarga yang mendoakan kebaikan untuk anak-anak angkatnya dan dijangka mula penggambaran tidak lama lagi dengan pelakon terkenal dari Pahang.
  • Kerajaan negeri Pahang juga memperkenalkan Baucar Raya RM100 untuk anak perantau berusia 18 tahun ke atas yang ingin pulang beraya, dengan 10,000 baucar pertama akan diberikan secara dalam talian.

Selepas lagu raya Dentam Dentum Raya menerima sambutan positif daripada pendengar, penerbit Jaja Ishak terus melangkah aktif menghasilkan karya baharu sempena musim perayaan tahun ini.

Menerusi rumah produksinya, Jaja Ishak Channel, beliau kini tampil dengan sebuah filem pendek khas Aidilfitri berjudul Sujudku Di Akhir Ramadan, yang dihasilkan dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang.

Menurut Jaja, kejayaan lagu raya yang dinyanyikan oleh Hadie Elfardie, Ammar Haikal dan Auddra Zulkifli memberi motivasi kepadanya untuk terus berkarya bagi memeriahkan sambutan Syawal.

“Alhamdulillah, saya gembira kerana Dentam Dentum Raya mendapat banyak respons positif pendengar. Dalam 10 hari dilancarkan, lagu itu sudah mendapat lebih 200,000 tontonan di YouTube. Sudah ada peminat yang melakukan dance challenge di TikTok. Saya berharap lagu nyanyian Trio Mut ini bakal mendapat lebih banyak perhatian lagi.

“Seterusnya, saya bakal muncul dengan filem pendek Raya iaitu Sujudku Di Akhir Ramadan. Karya ini berkisar tentang seorang ketua keluarga yang sentiasa mendoakan kebaikan buat anak-anaknya walaupun mereka bukan darah daging sendiri.

“Sebagai seorang pemimpin keluarga, dia sentiasa meletakkan kepentingan orang lain lebih dahulu dan berusaha melakukan yang terbaik untuk orang di sekelilingnya,” katanya.

Menurut Jaja, proses penggambaran dijangka dimulakan dalam masa terdekat memandangkan tempoh menuju Aidilfitri semakin hampir.

“Kami merancang untuk memulakan penggambaran minggu ini juga kerana masa agak terhad sebelum tiba Hari Raya,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa pihak produksi turut merancang untuk menampilkan beberapa pelakon terkenal bagi menjayakan filem pendek tersebut.

“Ketika ini proses pemilihan pelakon masih dalam peringkat perbincangan. Kalau ada peluang, kami memang mahu menjemput anak seni kelahiran Pahang untuk terlibat dalam projek ini.

“Mungkin ada rezeki bekerjasama dengan Kamal Adli, Noorkhiriah, Amerul Affendi, Lan Siro, Isyariana atau Razak Ahmad. Kami juga cuba menghubungi beberapa nama lain dan berharap semuanya dipermudahkan,” katanya lagi.

Filem pendek Sujudku Di Akhir Ramadan dijangka ditayangkan menerusi pelbagai platform media sosial sebagai sebahagian daripada usaha promosi kerajaan negeri Pahang menjelang Aidilfitri.

Dalam masa sama, kempen khas turut diperkenalkan melalui pemberian Baucar Raya RM100 kepada rakyat Pahang yang layak. Menurut Jaja, inisiatif tersebut bukan sahaja memeriahkan sambutan Syawal, malah memberi peluang kepada anak perantau untuk pulang beraya bersama keluarga.

“Ramai anak Pahang yang berada di luar negeri kerana bekerja atau menyambung pengajian. Inisiatif ini diharap dapat membantu mereka pulang beraya bersama keluarga.

“Baucar ini terbuka kepada anak Pahang berusia 18 tahun ke atas yang merancang untuk pulang ke negeri itu sempena Aidilfitri,” katanya.

Permohonan baucar tersebut boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan yang disediakan dan hanya 10,000 pemohon terawal yang memenuhi syarat akan menerima manfaat tersebut.

Kempen tahunan itu dilihat sebagai antara usaha kerajaan negeri bagi membantu anak perantau pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga serta mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan yang mungkin terpisah kerana tuntutan kerja atau pengajian di luar negeri.

Anda mungkin berminat dengan

SHEGLAM Fairy Wand Precision Highlighter Contour Pencil

SHEGLAM Fairy Wand Precision Highlighter Contour Pencil

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

Nike Club T-Shirt - Black

Nike Club T-Shirt - Black

WOSADO Magnetic Lash Set

WOSADO Magnetic Lash Set

SHEGLAM Camera On Smooth Blur Primer Smooth Poreless Moisturizing Face Base

SHEGLAM Camera On Smooth Blur Primer Smooth Poreless Moisturizing Face Base

Must-Watch Video

Advertisement