Ikon muzik serantau, Datuk Seri Siti Nurhaliza, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul 'Kumbang Bunga', hasil duet bersama penyanyi tersohor Indonesia, Lesti.
Dicipta oleh Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh, lagu ini menjadi single pertama daripada album terbaharu Siti Nurhaliza dan melambangkan persahabatan serta keharmonian dua negara serumpun yang disatukan melalui bahasa muzik.
Advertisement
Kumbang Bunga membawa makna signifikan sebagai gabungan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri, dalam garapan kontemporari tradisional.
Ia dihasilkan bagi menyantuni peminat muzik pelbagai generasi dan menarik minat golongan muda untuk terus menghargai muzik berteraskan warisan.
Menurut Siti, beliau tertarik dengan melodi Kumbang Bunga sebaik mendengarnya dan mencadangkan agar elemen dangdut, yang sinonim dengan gaya nyanyian Lesti, turut dimasukkan ke dalam gubahan lagu tersebut.
“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional,” ujar Siti.
Beliau menambah bahawa muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya dan sempadan.
“Menerusi Kumbang Bunga, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia tetapi turut mendapat tempat di hati peminat kami di negara lain,” jelasnya.
Lesti pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu penghormatan besar.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Sementara itu, Firdaus Rahmat, selaku komposer dan penulis lagu, menjelaskan bahawa proses penciptaan Kumbang Bunga mengambil masa kira-kira dua hari sahaja untuk disiapkan sepenuhnya.
“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Lesti kerana saya ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar,” ujar Firdaus yang bergabung bersama Iqie Hugh dalam penciptaan karya ini.
Kumbang Bunga diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd. Lagu ini boleh didapati di semua pelantar digital mulai 22 Oktober 2025.