Skip to main content

Antarabangsa

Krisdayanti Menang Perak Di Kejohanan Dunia Kungfu, Catat Sejarah Baharu Buat Indonesia

kd_wushu

Penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti, melakar pencapaian luar biasa apabila berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara Women’s Single Weapon Routines pada Kejohanan Dunia Kungfu ke-10 yang berlangsung di Emeishan, China, semalam.

Kejayaan membanggakan itu dikongsi sendiri oleh Krisdayanti, 51 tahun, menerusi media sosialnya. Beliau yang mewakili Indonesia tampil bangga menunjukkan pingat perak dan sijil kemenangan ketika berdiri di atas podium.

Advertisement

“Berjaya menduduki tempat kedua dalam acara Women’s Single Weapon Routines.
Terima kasih atas sokongan,” tulisnya ringkas.

Kejohanan berprestij yang berlangsung dari 14 hingga 20 Oktober itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara untuk menampilkan kehebatan masing-masing dalam seni mempertahankan diri tradisional China.

Pencapaian penyanyi lagu Menghitung Hari itu mencetuskan kebanggaan besar dalam kalangan rakyat Indonesia serta peminat dari seluruh dunia, yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan kata semangat.

Difahamkan, Krisdayanti yang kini juga bergelar nenek kepada dua cucu telah mula menceburi sukan wushu secara serius sejak empat tahun lalu.

Beliau bertanding dalam kategori seni bela diri wushu menggunakan kipas sebagai senjata utama, memperlihatkan dedikasi dan disiplin tinggi meskipun aktif dalam dunia hiburan.

Kejohanan Dunia Kungfu yang dianjurkan oleh Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF) merupakan platform berprestij yang menghimpunkan atlet kungfu dari seluruh dunia bagi mempamerkan kehebatan dalam pelbagai kategori termasuk senjata, tangan kosong dan rutin tradisional.

Must-Watch Video

Advertisement