Nama Kris Dayanti cukup terkenal sebagai selebriti sebelum terjun ke dunia politik menjadi wakil rakyat. Meski dua tugasan tersebut sudah membuat jadual kehidupan isteri Raul Lemos itu padat, Kris Dayanti tidak mahu berhenti menikmati hal-hal yang membuatnya gembira.
Selepas kembali menyambung pelajaran pada usia lebih 50 tahun, penyanyi Menghitung Hari itu menambah satu lagi portfolio dalam kehidupannya.
Advertisement
Kris Dayanti kini menjadi salah seorang atlet yang ikut bertanding dalam pertandingan antarabangsa Wushu. Khabar tersebut diperlihatkan wanita itu menerusi perkongsian di Instagram.
Bersama pasukannya mewakili Indonesia, pertandingan tersebut diketahui akan berlangsung di China pada 14 sehingga 20 Oktober ini.
“Berlatih layaknya bertanding. hari ini kami melakukan simulasi latihan terakhir sebelum berangkat untuk pertandingan international wushu di İmeishan China 14-20 oktober nanti. Doakan Indonesia juara ,jiayou!!”tulisnya pada bahagian kapsyen bersama foto dirinya dan pasukan berlatih.

Perkongsian tersebut mendapat sokongan dalam kalangan pengguna media sosial yang kebanyakannya kagum dengan kemampuan Kris Dayanti melakukan rutin seperti melentur badan dan disiplin wushu yang lain pada usia yang tidak lagi muda.
Kris Dayanti sendiri sudah menekuni latihan wushu sejak beberapa tahun lalu untuk mengisi masa lapang dan kesihatan. Dia kemudian jatuh cinta dan mula melakukan disiplin wushu dengan serius.