Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal meraikan perjalanan seninya selama tiga dekad menerusi konsert mega Legacy 30 Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert berskala besar itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun penglibatannya dalam dunia seni, sekali gus menandakan dedikasi, cinta serta keikhlasan terhadap muzik tempatan dan antarabangsa.
Bagaimanapun, penganjuran konsert tersebut bukan untuk memecahkan rekod kehadiran 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004.
"Dengan kapasiti kira-kira 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi terbaik untuk menghimpunkan para peminat dan pencinta seni dari seluruh negara dan rantau Asia.
Advertisement
“Penganjur konsert, SN Legacy Sdn. Bhd menegaskan bahawa penganjuran di stadium ikonik ini bukan bertujuan untuk memecah rekod kehadiran 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004 sebaliknya sebagai satu perancangan yang teliti bagi memberi pengalaman konsert yang selesa, epik dan penuh makna kepada semua peminat,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Konsert Legacy 30 dibawakan khas oleh Cuckoo dan pengatur utama AFFIN Bank. Pra-jualan eksklusif untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit AFFIN akan dibuka pada 1 Oktober 2025 jam 12 tengah hari hingga 3 Oktober 2025 jam 12 tengah hari.
Manakala, jualan tiket umum bermula pada 3 Oktober 2025 jam 3 petang menerusi laman rasmi www.ticket2u.com, dengan harga bermula RM69 hingga RM1,599 mengikut kategori tempat duduk.

Konsert Legacy 30 bukan sahaja menjadi persembahan bersejarah Siti Nurhaliza dalam dekad ini tetapi juga manifestasi rasa syukur dan cintanya kepada peminat yang telah menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kariernya.