Skip to main content

Konsert

Konsert Fenomena Samurai Gabungan Epik Search & XPDC Gegar Kuching 13 Disember Ini

fenomena

Tanpa perlu memperkenalkan dua kugiran legenda ini, pengumuman yang dibuat penganjur, Seri Simfoni Sdn Bhd dan Bintang Batu Event mengenai Konsert Fenomena Samurai sudah cukup membuat peminat teruja.

Sementelah penganjuran julung kali yang menampilkan Search dan XPDC ini juga pertama kali diadakan di Kuching, Sarawak pada 13 Disember 2025.

Advertisement

Mengadakan konsert berskala besar tepatnya di dalam Stadium Kuching yang boleh memuatkan sekitar 50,000 penonton adalah percubaan berani penganjur.

Namun, percubaan sulung ini barangkali sukses berkat kolaborasi Search dan XPDC yang tidak pernah satu pentas di Borneo.

“Tentu sahaja sebagai penganjur kami mahukan yang terbaik. Oleh kerana penganjuran konsert di Kuala Lumpur atau Johor Bahru misalnya selalu ‘penuh’ jadi kami bersetuju memilih Kuching.

“Kenapa Kuching? Membawakan Search dan XPDC, dua nama besar dan legenda rock tanah air ke Kuching adalah atas permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat.

“Jadi walaupun harus diakui kos penganjuran termasuk logistik dan semuanya boleh meningkat kepada dua atau tiga kali ganda namun kami optimis konsert ini akan mencapai sasaran,” ujar Ikhram atau Atom dari Seri Simfoni Sdn Bhd dan Bintang Batu Event.

Buat Search pula, bermain satu pentas dengan XPDC kelak akan menjadi ‘medan tempur’ yang tidak membawa aura negatif.

Sebagai pemuzik yang sudah cukup lama bergelumang dengan sepak terajang industri, kesefahaman yang telah terjalin membuatkan Search yakin Konsert Fenomena Samurai akan mendapat sambutan.

“Apa yang boleh kami katakan, akan ada banyak kejutan nanti,” ujar Din sewaktu ditemui pada sidang media Konsert Fenomena Samurai di Top G Coffee & Cafe.

Lola pula mewakili XPDC mengatakan menerima banyak permintaan lagu daripada peminat yang belum pernah mereka bawakan sebelum ini.

“XPDC menerima banyak permintaan peminat di media sosial untuk menyanyikan lagu yang tidak pernah kami bawakan. Dan permintaan peminat adalah keutamaan kami.

“Apa yang pasti Konsert Fenomena Samurai akan mencipta kelainan dan ya, penuh kejutan,” katanya.

Konsert Fenomena Samurai akan menyaksikan Search dan XPDC masing-masing beraksi selama satu jam setengah dan membawakan sekitar 15 atau 16 buah lagu bermula pukul 8 malam.

Malah ‘pesta’ akan bermula seawal pukul 2 petang apabila penganjur dengan bangga memberi pentas kepada bakat tempatan dari Sarawak untuk menghiburkan pengunjung.

Untuk yang berminat, harga ‘Early bird’ Konsert Fenomena Samurai mengikut kategori RM250 (VIP), RM188 (MOSH), RM104 (FREE STANDING), RM160 (SILVER), RM90 (BRONZE) boleh dibeli menerusi: http://fenomenasamurai.ubertickets.asia/.

Atau dapatkan tiket Konsert Fenomena Samurai pada harga biasa iaituRM359 (VIP),
RM269 (MOSH), RM149 (FREE STANDING), RM229 (SILVER) RM129 (BRONZE).

Must-Watch Video