Sekilas
- Ozlyn Wati kongsi cara dia hadapi komen negatif netizen dengan lebih matang dan kawal emosi.
- Dia pilih untuk tapis perkara negatif dengan block komen yang membawa 'negative vibe' demi ketenangan diri.
- Ozlyn nasihatkan keluarga dan peminat supaya elak bergaduh di media sosial dan sentiasa doakan yang baik-baik.
Isteri kepada pelakon dan pelawak, Johan iaitu Ozlyn Wati berkongsi cara dia menangani komen negatif daripada netizen yang sering menjadi ‘asam garam’ kehidupan sebagai selebriti.
Menurut Ozlyn, dia mengakui pernah berdepan fasa sukar sehingga menangis apabila menerima kecaman, namun kini lebih matang dalam mengawal emosi.
“Kalau dulu nangis… tapi makin lama kita belajar sesuatu. Tak boleh puaskan hati orang, tak boleh nak tutup mulut orang nak fitnah,” katanya.
Tambahnya, dia kini memilih untuk menapis perkara negatif demi menjaga ketenangan diri.
“Kalau di halaman saya, saya ‘block’ sebab tak nak ‘negative vibe’. Kalau di halaman orang lain, saya tak baca dan serahkan pada Allah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ozlyn turut menasihatkan keluarga dan peminat agar tidak terlibat dalam sebarang pertelingkahan di media sosial.
“Saya selalu pesan pada keluarga dan peminat jangan berbalah, doakan yang baik-baik. Nanti yang datang kepada kita pun baik-baik,” katanya.

Menurutnya lagi, dia kini lebih selesa menjalani kehidupan dengan tenang tanpa terpalit dengan konflik tidak perlu.
“Sekarang lebih tenang. Tak suka orang bergaduh sebab kita. Nak semua happy.
“Tak tahu siapa Allah ambil dulu, nanti menyesal tak sempat nak minta maaf,” luahnya.
Perkongsian tersebut dibuat selepas seorang pengguna media sosial bertanyakan bagaimana selebriti tempatan berdepan dengan komen negatif daripada netizen.