Sekilas
- Astro akan menganjurkan Konsert Countdown KITA 2026 di IOI City Mall Putrajaya pada 31 Disember, meraikan kepelbagaian budaya Malaysia dengan barisan artis terkenal dari pelbagai genre dan generasi.
- Acara bermula dengan Pre-Show dari jam 4 petang, diikuti konsert utama jam 9 malam yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan diserikan dengan pertunjukan bunga api besar pada tengah malam.
- Konsert ini juga disiarkan secara langsung di Astro Ria dan platform digital Astro GO, dengan pelbagai ganjaran eksklusif untuk pengunjung yang menggunakan aplikasi CLUB IOI.
Astro kembali memeriahkan sambutan ambang tahun baharu menerusi penganjuran Konsert Countdown KITA 2026 yang bakal berlangsung di IOI City Mall Putrajaya pada 31 Disember ini, selepas kejayaan luar biasa edisi tahun lalu.
Meneruskan tema “KITA”, konsert berkenaan meraikan kepelbagaian budaya dan bangsa di Malaysia dengan menghimpunkan barisan artis ternama merentasi genre dan generasi, sekali gus menjadikan muzik sebagai jambatan penyatuan rakyat.
Antara nama besar yang bakal menggegarkan pentas Konsert Countdown KITA 2026 termasuk Ella, Alleycats, Faizal Tahir, Hael Husaini, Amir Masdi, Nadeera, Darkkey, ALPHA, Ruhan (juara Big Stage Tamil), Geraldine Gan, Nicole Lai, Zuvy, Jun Jun, Auddra, Rayme serta ramai lagi.
Menurut Naib Presiden Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, kejayaan penganjuran tahun lalu yang menarik lebih 30,000 penonton secara langsung serta 18 juta tontonan digital menjadi pemangkin untuk menjadikan edisi kali ini lebih inklusif dan bermakna.
Konsert ini bakal berlangsung di Symphony East, IOI City Mall Putrajaya, bermula dengan Pre-Show KITA 2026 dari jam 4 petang hingga 6.30 petang, sebelum acara utama bermula jam 9 malam yang dihoskan oleh Nabil Ahmad, bersama Revathy Mariappan dan personaliti radio Yoon Ng.
Kemuncak malam akan diserikan dengan kiraan detik menjelang 12 malam serta pertunjukan bunga api eksklusif berskala besar, menandakan permulaan tahun 2026 penuh harapan baharu.
Menariknya, orang ramai yang hadir disarankan memuat turun aplikasi CLUB IOI untuk menikmati diskaun parkir sehingga RM6, e-voucher eksklusif, akses Zon VIP serta pelbagai ganjaran lain sepanjang acara berlangsung.
Sebagai pemanas suasana, Astro turut berkongsi video imbas kembali Konsert Countdown KITA 2025 yang memaparkan kemeriahan sambutan tahun lalu, selain video teaser rasmi Konsert Countdown KITA 2026 bagi memberi gambaran awal konsep serta pengalaman yang bakal disajikan kepada penonton.
Konsert Countdown KITA 2026 turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104) dan platform digital Astro GO serta On Demand, namun pengalaman sebenar hanya dapat dirasai dengan hadir secara langsung di lokasi.