Skip to main content

Hiburan

Konsert Black On White Gegar Idea Live Arena, Cromok dan Barbarik Pukau Ribuan Peminat

Astrogempak CROMOK

Sekilas

  • Konsert Black On White di Idea Live Arena menampilkan persembahan mantap dari Cromok dan Barbarik yang membuktikan kekuatan muzik rock dan thrash metal tempatan masih relevan.
  • Vokalis Barbarik, Muss, tetap profesional meneruskan persembahan walaupun menghadapi masalah kesihatan isteri yang kritikal, menunjukkan komitmen tinggi kepada peminat.
  • Cromok mempersembahkan lagu baru "Wisdom" dan segmen penghormatan kepada Allahyarham Din dan Miji, manakala Barbarik menghidupkan suasana dengan medley lagu popular Kembara, menjadikan konsert ini penuh emosi dan nostalgia.

Konsert Black On White: Cromok-Barbarik yang berlangsung di Idea Live Arena membuktikan bahawa muzik rock dan thrash metal tempatan masih mempunyai pengaruh tersendiri.

Menggabungkan dua nama besar, Cromok dan Barbarik, konsert tersebut bukan sekadar menjadi pentas pertemuan dua identiti muzik berbeza, sebaliknya menghadirkan pengalaman persembahan yang matang, tersusun dan menghiburkan dari awal hingga akhir.

Meskipun vokalis Barbarik, Muss berdepan detik sukar susulan keadaan kesihatan isterinya yang kembali kritikal, beliau tetap menunjukkan komitmen tinggi apabila meneruskan persembahan secara profesional demi peminat yang hadir memberi sokongan.

Difahamkan, keadaan kesihatan isteri Muss kembali merosot sebelum konsert berlangsung, namun perkara tersebut hanya dimaklumkan kepadanya selepas selesai persembahan bagi memastikan tumpuan beliau di pentas tidak terganggu.

Situasi itu menjadikan persembahan Barbarik pada malam berkenaan lebih menyentuh emosi, apatah lagi Muss tetap memberikan tenaga terbaik sebelum bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai keadaan isterinya.

Dalam tekanan peribadi yang berat, semangat “show must go on” jelas terserlah apabila keseluruhan perjalanan konsert berlangsung lancar tanpa gangguan besar, sekali gus membuktikan tahap profesionalisme semua pihak yang terlibat.

Pemain gitar Cromok, Karl menyifatkan persembahan malam itu sebagai sesuatu yang memuaskan apabila penonton hadir dengan sokongan luar biasa dan menikmati setiap segmen yang dipersembahkan.

“Puas. Kita nampak ramai yang datang, we have fun. Apa yang penting kita yang berada di atas pentas dan penonton sama-sama enjoy. Mereka datang, mereka rasa seronok dan mereka enjoy. Saya gembira.

“Persembahan tidak pernah sempurna. Dalam kehidupan pun tiada yang sempurna pasti ada kekurangan di mana-mana, tetapi yang penting bagaimana kita menanganinya dan ambil yang terbaik daripada apa yang ada di depan kita.

"Malam ini semuanya berjalan lancar, tidak ada tergendala, tidak ada masalah teknikal besar sampai perlu berhenti. Semua berjalan seperti yang dirancang,” katanya pada sidang media usai konsert.

Dari segi kualiti persembahan, Black On White boleh dianggap berjaya mencapai matlamatnya apabila sistem bunyi kedengaran kemas dan seimbang, sekali gus memberi ruang kepada peminat menikmati karakter muzik kedua-dua kumpulan dengan jelas.

Konsert tersebut dibuka dengan tenaga Cromok menerusi rangkaian lagu seperti Black Fury, Prophecy, Stranger, Memories, Another You, I Don’t Belong Here, Misery dan Little One yang menerima sambutan hangat daripada peminat tegar mereka.

Lebih istimewa, Cromok turut mempersembahkan Wisdom, sebuah material baharu yang diperdengarkan kepada penonton sebagai tanda kumpulan itu masih aktif berkarya dan tidak sekadar bergantung kepada katalog lama.

Mengulas mengenai keberanian membawa lagu baharu yang belum biasa didengar penonton, Karl berkata perkara itu penting bagi menunjukkan bahawa Cromok terus produktif sebagai sebuah band.

“Itu biasa. Kita kena tunjuk kita produktif. Bukan semua orang berani main lagu baharu yang belum keluar. Jadi kita kena didik peminat. Kita memang mahu beritahu yang kita masih aktif dan tidak hanya bergantung kepada lagu lama.

“Penonton yang datang malam ini beruntung sebab mereka menjadi orang pertama yang dengar,” katanya.

Momen penghormatan kepada Allahyarham Din dan Miji turut menjadi antara bahagian paling bermakna dalam persembahan Cromok menerusi lagu Fallen Heroes yang didedikasikan kepada insan penting dalam sejarah pembentukan nama besar kumpulan tersebut.

Karl berkata, lagu tersebut membawa makna mendalam kerana mengenang jasa mereka yang menjadi sebahagian daripada asas dan identiti Cromok sejak awal penubuhannya.

“Itu sebab kita namakan lagu itu Fallen Hero, untuk mengenang jasa mereka. Mereka antara pengasas nama Cromok dari awal lagi, terutama Allahyarham Din,” katanya.

Sementara itu, Barbarik meneruskan momentum konsert dengan rangkaian lagu seperti Peluru Cokelat, Kasmaran Selamanya, Mencari Asal Usul, Nasib Baik, Periok Api, Inspirasi Syakilla, Sakit Bantal Empuk, Keris Tak Ada Sarong, Gerhana dan Golok Kayu.

Segmen special medley yang menampilkan lagu-lagu popular Kembara seperti Hati Emas, Impian Seorang Nelayan, Ekspress Rakyat dan Impian Anak Jalanan turut menjadi antara kemuncak apabila penonton sama-sama menyanyi dan menikmati sisi berbeza persembahan malam tersebut.

Lebih mencuri perhatian, vokalis Cromok, Sam turut membawakan lagu Melayu dalam segmen berkenaan, sesuatu yang dianggap istimewa oleh peminat kerana jarang dapat disaksikan dalam persembahan Cromok.

Sam berkata, pemilihan lagu Melayu popular itu dibuat kerana dekat dengan khalayak dan sesuai dengan matlamat konsert untuk memberi hiburan kepada semua yang hadir.

“Mungkin sebab saya nyanyi lagu Melayu yang popular dan semua orang tahu, jadi mereka enjoy. Kita buat show ini memang untuk semua orang enjoy. Kita pun mahu enjoy. Bila tengok orang menyanyi dan mereka gembira, itu sudah cukup bagus.

“Tetapi untuk saya menyanyi lagu cover Melayu, mungkin istimewa hanya untuk konsert ini,” katanya.

Secara keseluruhan, Black On White bukan sahaja berjaya mempertemukan Cromok dan Barbarik dalam satu pentas, malah memperlihatkan kekuatan sebenar muzik tempatan apabila disokong oleh peminat yang masih setia hadir, menyanyi dan memberi respons positif sepanjang konsert berlangsung.

Gabungan persembahan bertenaga, susunan lagu yang kuat, bunyi yang kemas, segmen nostalgia dan elemen baharu menjadikan Black On White sebuah konsert yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut meninggalkan kesan emosi kepada peminat.

Konsert Black On White: Cromok-Barbarik dianjurkan oleh Karl Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik dan mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik.

Penganjuran ini sekali gus membuktikan bahawa konsert rock dan thrash metal tempatan masih mempunyai pasaran serta kekuatan tersendiri, selain membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi berani dan berkualiti dalam industri muzik tanah air.

Anda mungkin berminat dengan

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

Must Watch Video

Advertisement