Prosiding perceraian antara pasangan selebriti, Uqasha Senrose dan Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Selasa terpaksa ditangguhkan selepas peguam yang mewakili pihak aktres itu dilaporkan menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.
Menurut peguam syarie Kamal Adli, iaitu Abdul Hadi Mohammad Salleh, prosiding berlangsung secara sebelah pihak memandangkan tiada wakil baharu hadir bagi pihak Uqasha.
Advertisement
“Kami agak terkejut apabila dimaklumkan bahawa peguam yang sebelum ini mewakili Uqasha telah menarik diri. Sepatutnya ada peguam baharu yang menggantikan, namun tiada siapa yang hadir pada hari ini,” jelas Abdul Hadi ketika ditemui selepas prosiding tamat.
Dalam pada itu, difahamkan pihak mahkamah memberikan amaran serta peluang terakhir kepada pihak Uqasha untuk menghadiri prosiding seterusnya bersama peguam baharu bagi meneruskan kes berkenaan.
“Hakim memberi peringatan agar Uqasha hadir semula dengan peguam bagi menentukan sama ada kes ini akan diteruskan atau sebaliknya,” tambahnya.
Mahkamah menetapkan 19 November depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes tersebut.
Difahamkan, permohonan perceraian itu difailkan di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, atas alasan tiada persefahaman antara pasangan suami isteri.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu, manakala sebutan pertama kes berlangsung pada 22 Oktober sebelum disambung semula pada Selasa.
Pasangan yang popular menerusi drama Setelah Terlafaznya Akad itu berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.