Sekilas
- Aina Abdul berkongsi cabaran menjadi penyanyi bebas yang perlu mengurus kewangan dan disiplin diri sendiri tanpa sokongan pengurusan.
- Dia menekankan pentingnya kesabaran dan pengurusan masa kerana perlu mengawal semua aspek kerjaya dari lagu hingga penampilan.
- Aina menggalakkan penyanyi muda untuk berani jadi bos sendiri dengan memanfaatkan ilmu dan panduan yang banyak tersedia secara dalam talian.
Sebagai penyanyi yang bergerak secara bebas, Aina Abdul mengakui banyak cabaran yang perlu dihadapi tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak pengurusan atau syarikat rakaman.
Menurut Aina, perkara paling penting yang perlu ada dalam diri seseorang artis yang mahu bekerja sendiri adalah kesabaran, terutama dari segi kewangan dan disiplin diri.
“Perkara pertama yang kena ada dalam diri kita kalau kita decide untuk buat semuanya sendiri ialah sabar. Sabar yang sangat banyak, termasuk sabar dari segi kewangan dan juga sabar menahan nafsu untuk berbelanja.
"Kebanyakan perkara yang saya laburkan dalam kerjaya saya datang daripada simpanan sendiri yang saya kumpul sepanjang bertahun-tahun menyanyi," katanya kepada Gempak.
Selain aspek kewangan, Aina mengakui cabaran terbesar apabila bekerja sendiri adalah pengurusan masa kerana hampir semua perkara perlu diuruskan secara sendiri.
Menurutnya, berbeza dengan artis yang mempunyai pengurusan sendiri, dia perlu memikirkan pelbagai perkara termasuk perancangan lagu, konsep penampilan, serta strategi pelancaran karya.
“Saya kena fikir semuanya sendiri. Dari nak fikir pakai baju apa, bila nak keluarkan lagu, sampai kepada proses menulis lagu itu sendiri,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Imahi turut menggalakkan penyanyi muda untuk berani mencuba menjadi bos kepada diri sendiri, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang penuh dengan akses kepada pelbagai maklumat.
Menurutnya, banyak panduan serta ilmu yang boleh dipelajari secara dalam talian untuk membantu seseorang artis memahami cara mengurus kerjaya sendiri.
“Ini masa yang sesuai untuk penyanyi bekerja sendiri kerana kita hidup dalam era di mana banyak maklumat tersedia. Banyak perkara boleh dipelajari secara online tentang bagaimana nak mengurus kerjaya sendiri,” jelasnya.