"Satu jer, saya doa satu jer, yang saya fikir pun satu je. Saya nak lihat isteri saya sihat. Itu saja," kata Prince Syed mengulas mengenai penahanan empat individu berhubung insiden memukul dan menyerang pempengaruh dan usahawan itu baru-baru ini.
Tambah Prince Syed, fokusnya kini lebih kepada menjaga kesihatan isterinya, Fatin Syazwani dan mahu memastikan rumah tangga mereka kekal harmoni.
"Perkara lain saya tak nak fikir sebab saya nak rumahtangga harmoni," tambahnya kepada Gempak.
Advertisement
Terdahulu, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Ariffin Aman Shah, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 59 tahun itu ditahan semalam (Ahad) selepas laporan dibuat oleh pengadu berusia 33 tahun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan kerosakan harta benda.
Sebelum ini, media melaporkan Prince Syed atau nama sebenarnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, membuat laporan polis di Balai Polis Klang selepas mendakwa diserang dan dipukul hingga cedera di tangan dan wajah.
Difahamkan, suspek memukul kepala Prince Syed beberapa kali menggunakan topi keledar, menumbuk muka, mencakar tangannya hingga berdarah serta memecahkan cermin keretanya jenis Proton X70.
Kejadian dipercayai berpunca daripada konflik keluarga melibatkan isterinya, Fatin Syazwani, selepas tular video didakwa ibu mentua Prince Syed yang menuduh menantunya melarikan anak dan cucu, selain mendakwa memaksa Fatin menjalani pembedahan bariatrik bagi tujuan promosi produk pelangsingan badan.
Kes kini masih dalam siasatan lanjut dan pihak polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.