Sekilas
- Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum menafikan dakwaan rumah tangganya dengan Julia Farhana Marina bermasalah dan menegaskan mereka baik-baik sahaja.
- Che Hafiz menjelaskan mereka tetap menyambut Aidilfitri bersama tetapi memilih untuk tidak berkongsi gambar bersama di media sosial.
- Pasangan ini berkahwin pada 14 Disember 2022 dan menghadapi pasang surut biasa dalam rumah tangga tanpa sebarang isu besar.
Suami kepada pelakon, Julia Farhana Marina iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum menafikan dakwaan yang mengatakan rumah tangga mereka berantakkan.
Perjelasnya, hubungan mereka dalam keadaan yang baik sahaja dan tidak mempunyai masalah seperti yang disebut-sebut sesetengah pihak.
Spekulasi itu mula timbul selepas Che Hafiz memuat naik foto dirinya yang didakwa menyambut raya secara berasingan dengan Julia.
“Biasalah dalam rumah tangga mesti ada pasang surut, mana ada rumah tangga yang tidak ada ujiannya.
“Tapi apa yang boleh saya katakan, kami baik-baik saja. Tiada masalah dan tak ada sebarang isu pun.
“Saya mohon supaya doakan yang baik-baik. Itu saja,” katanya ketika Gempak.
Che Hafiz berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka All Star Influencers (ASIA) bertempat di Studio 38, Kota Damansara pada Sabtu.
Dalam masa yang sama, Che Hafiz turut menafikan dakwaan dirinya dan Julia beraya secara berasingan.
Ujarnya, mereka tetap menyambut Aidilfitri seperti biasa, cuma memilih untuk tidak berkongsi foto raya bersama.
“Mengenai perkara itu, kami memang ada raya bersama hanya tak berkongsi gambar, itu saja.
“Cuma saya tak nak komen dengan terperinci. Tapi memang apa yang saya boleh katakan, kami berdua baik-baik sahaja. Kerja macam biasa, tak ada apa-apa masalah,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai reaksi Julia berhubung perkara itu, Che Hafiz memaklumkan mereka memilih untuk memandangnya dari sudut yang positif.
“Setiap spekulasi pasti ada pro dan kontra. Nak kata kami mentertawakan spekulasi itu seolah-olah kami meremehkan pula.
“Jadi apa yang boleh saya katakan, iya kami ambil dari sudut positif. Kalau saya muat naik gambar tanpa ibu, orang ingat ibu saya dah meninggal dunia.
“Jadi macam-macam boleh berlaku, tapi seperti yang saya katakan, kami berdua baik-baik saja,” katanya.
Katanya lagi, apa yang berlaku hanyalah asam garam yang dihadapi setiap pasangan suami isteri.
“Dalam rumah tangga memang ada pasang surut, itu biasa. Tapi kami berbaik-baik saja, tak ada masalah,” jelasnya.
Terdahulu, perkongsian Che Hafiz yang menyambut Aidilfitri tanpa kelibat Julia telah menyorot perhatian ramai.
Hantaran itu telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen yang mula berteka-teki mengenai status perkahwinan mereka.
Untuk rekod, Julia dan Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022 dalam satu majlis tertutup.
Pengumuman dibuat selepas pasangan itu pulang dari berbulan madu, dengan Julia meluahkan rasa syukur dan meminta doa orang ramai untuk perkahwinan mereka.
Sebelum ini, Che Hafiz pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi, Lufya pada November 2016 sebelum memilih untuk bercerai pada Jun 2020.