Penyanyi Aizat Amdan, 36 tahun, berkongsi bahawa minatnya terhadap kopi sudah bermula sejak usia 17 tahun.
Menurut Aizat, secawan kopi merupakan sebahagian daripada rutin wajibnya setiap pagi.
Advertisement
“Saya mula suka kopi sejak umur 17 tahun. Setiap pagi, perkara pertama yang saya buat ialah minum air dahulu sebelum menikmati secawan kopi. Kalau sehari saya tak sempat minum kopi, saya akan rasa ‘down’.
“Saya lebih suka kopi hitam yang pahit. Kalau saya perlukan tenaga lebih atau nak kekal fokus, saya boleh minum sampai tiga cawan sehari, itu pun sudah tahap maksimum.
“Tapi saya tak boleh minum kopi selepas jam 5 petang sebab nanti susah nak tidur,” jelasnya.
Aizat ditemui ketika menghadiri Festival Kopi Selangor 2025 (Selcoff 2025) yang berlangsung di The Curve, Damansara.
Acara anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor itu diadakan dari 17 hingga 19 Oktober 2025.
Sebagai duta Tourism Selangor, Aizat turut dijadualkan membuat persembahan di Selcoff pada Sabtu, 18 Oktober 2025.
“Memandangkan saya memang peminat kopi, saya sangat teruja dengan penganjuran acara ini. Ia memberi peluang untuk saya lebih dekat dengan komuniti kopi.
“Bagi mereka yang mencintai kopi, Selcoff 2025 memang acara yang patut anda lawati. Jangan lupa datang tengok persembahan saya pada Sabtu, 18 Oktober jam 9.30 malam,” tambahnya.