Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan lebih baik masyarakat mendoakan keselamatan selebriti wanita yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza berbanding mempertikaikan tindakan mereka.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, perjuangan sebegitu bukan perkara mudah kerana ia melibatkan pertaruhan nyawa.
Advertisement
“Kerja jihad ini mempertaruhkan nyawa sendiri, kita tidak tahu mereka selamat atau tidak. Jadi kita di Malaysia doakan saja yang terbaik. Itu lebih afdal bagi saya daripada kita pertikaikan tindakan mereka.
“Hanya Allah sahaja boleh lindungi mereka,” katanya.
Menurut Siti lagi, masyarakat seharusnya menghargai keberanian golongan terbabit kerana bukan semua orang berpeluang untuk melakukan pengorbanan seperti itu.
“Kita tak boleh pergi macam mana mereka berpeluang ke sana. Kita yang mampu ini pun kadang tidak boleh buat apa yang mereka lakukan. Kita doakan semua yang berjihad membantu saudara kita di Gaza dilindungi Allah daripada segala ancaman.
“Semoga jihad mereka untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza Allah permudahkan,” ujarnya.
Mengulas isu sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan wanita berkahwin menyertai misi sebegitu, Siti berkata perkara itu tidak seharusnya dijadikan bahan perdebatan.
“Setiap orang ada perjuangan sendiri. Saya pasti perjuangan itu mesti dengan izin. Kalau suami mereka izinkan, saya rasa suami dan keluarga mereka lebih mengetahui.
“Kita mungkin tidak berada di tempat mereka. Apa saja jihad kepada Allah untuk membantu saudara Muslim yang lain, kita serahkan kepada Allah sahaja. Kadang-kadang kalau kita cakap pun boleh jadi fitnah,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi Anta Permana itu turut menasihatkan masyarakat agar memberi sokongan mengikut kemampuan masing-masing tanpa menjatuhkan hukum terhadap orang lain.
“Bagi saya kalau kita tahu perjuangan ini dan sama-sama dengan mereka (Palestin), insya-Allah kita boleh buat dengan cara tersendiri. Kita nak repost atau berdoa pun masing-masing punya cara.
“Tapi janganlah kita hukum orang yang tidak berkongsi di media sosial. Mungkin mereka berdoa diam-diam atau beri sumbangan wang, kita tak tahu. Cuma sebagai umat Islam, atas keprihatinan kita kena tunjukkan sokongan kepada kawan-kawan yang berjihad. Jangan berhenti bersuara walau dengan apa cara sekali pun,” katanya.
Sebelum ini, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana antara selebriti yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama beberapa aktivis dari Malaysia sebelum berlayar melalui Laut Mediterranean bersama puluhan kapal dari 44 negara lain.
Zizi dalam kenyataan sebelum ini meluahkan rasa kecewa apabila masih ada pihak mempertikaikan peranan selebriti dalam misi kemanusiaan tersebut.