Sekilas
- Zizi Kirana mengakui rasa gemuruh ketika pertama kali berjalan di pentas peragaan sebagai ikon untuk koleksi fesyen terbaru Hatta Dolmat.
- Koleksi The Quiet Power menampilkan tujuh wirawati Malaysia dari arena sukan sebagai ikon utama, termasuk Zizi yang juga aktif dalam misi kemanusiaan.
- Hatta Dolmat meraikan wanita dari pelbagai latar belakang melalui tema kekuatan dalam ketenangan yang dipancarkan dalam koleksi ini.
Penyanyi dan aktivis, Zizi Kirana, akui gemuruh ketika pertama kali melangkah di pentas peragaan sebagai salah seorang ikon untuk koleksi terbaharu pereka fesyen tanah air, Hatta Dolmat.
Meskipun sering dilihat bertenaga di pentas nyanyian, Zizi mengakui pengalaman catwalk pertamanya sebagai model telah memberikan debaran yang berbeza.
“Ini kali pertama saya catwalk macam model. Kaki rasa tak jejak tanah, memang gemuruh!” katanya.
Tambahan pula, pertunjukan fesyen kali ini menjadi pengalaman pertama buat Zizi mengenakan busana rekaan Hatta Dolmat.
Penyanyi lagu Nak Ke Tak Nak itu juga menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Hatta meraikan wanita daripada pelbagai latar belakang dalam koleksi terbaharunya.
“Ini juga kali pertama saya memakai busana Hatta. Saya sambut baik usaha beliau meraikan wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk sukan sebagai ikon,” katanya.
Zizi merupakan sebahagian daripada barisan Ikon Walk istimewa untuk koleksi Hatta yang bertemakan The Quiet Power, yang dipersembahkan di pentas Fashionably Modest Asia (FMA) 2025 di Pavilion Damansara Heights, Khamis lalu.
Koleksi The Quiet Power yang dipersembahkan oleh Hatta Dolmat menampilkan gabungan luar biasa antara fesyen dan semangat nasional, dengan memilih barisan tujuh wirawati Malaysia dari arena sukan sebagai ikon utama.
Antara atlet yang turut serta ialah Juara Dunia Lawn Bowl 2023, Nor Farah Ain; pemain skuad bola jaring kebangsaan, Noramirah Dayana Noor Azhar; perenang muda, Isabelle Chiyi Buckley; atlet bola sepak wanita, Nur Izwani Azman; atlet boling wanita, Natasha Mohamed Roslan; pemain boling negara, Nur Hazirah Ramli; dan pendaki, Siti NurSara.
Sosok Zizi Kirana melengkapkan barisan ikon ini, menampilkan ketabahan melalui penyertaannya dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza sebelum ini, yang melangkaui statusnya sebagai selebriti untuk berjuang membanteras penindasan.
Pereka fesyen itu menjelaskan, tema The Quiet Power membawa maksud kekuatan dalam ketenangan, yang dipancarkan melalui koleksi yang tampil berbeza dan berani.