Pelakon, Jack Tan berkongsi pengalaman bekerja bersama pelawak dan pelakon, Zizan Razak menerusi filem terbaharu lakonan mereka yang bertajuk ‘Terbang’.
Tidak dapat menyembunyikan rasa kagumnya, Jack menyifatkan Zizan sebagai seorang yang pemurah dan sentiasa menceriakan set penggambaran.
Advertisement
“Kalau Zizan ada di sini, kami (krew dan pelakon) tak pernah lapar tau. Dia akan beli makanan dan belanja kami semua.
Baru-baru ini Zizan juga pernah belikan seekor kambing buat kami semua dan kalau dia ada memang best,” ujarnya.
Jack berkongsi perkara itu ketika ditemui pada set penggambaran filem Terbang di Sepang, Selangor pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai filem tersebut, Jack berkata Zizan banyak membantu dalam menjayakan babak yang dilakonkan mereka bersama.
Malah kata Jack, dia juga bersyukur kerana dapat bekerja dalam satu pasukan yang begitu profesional, mesra dan saling menyokong.
“Kami juga saling bantu membantu untuk menjayakan watak sebagai contoh beberapa dialog untuk saya. Saya punya dialog ada dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.
“Kerana pengarah iaitu Chiu Keng Guan caranya mengarah agak ‘direct’ dan dia secara tiba tiba akan tukar.
“Dia akan ikut jalan cerita atau emosi karakter yang dilakonkan dan tukar dialog di set penggambaran. Abang Zizan dan abang Namron sentiasa bantu untuk saya menjadikan dialong lebih baik.
“Saya rasa sangat gembira kerana dapat bekerja dengan mereka untuk filem Terbang ini,” jelasnya.
Selain Jack Tan, filem ini turut dibintangi Irfan Zaini, Zizan Razak, Nam Ron, Diana Danielle, Aiman Hakim, Shweta Sekhon dan Mikael Noah.
Terbang merupakan filem yang diinspirasikan dari kisah kejayaan pelumba rali negara iaitu Karamjit Singh.