Bintang legenda Hollywood, Anthony Hopkins mendedahkan isterinya, Stella Arroyave mengesyaki dirinya seorang autisme dan pernah meminta beliau untuk menjalani diagnos terhadap ‘keistimewaan’ itu.
Menurut Hopkins, ‘idea’ itu diperoleh Arroyave selepas meneliti sikap beliau sepanjang mereka berumah tangga.
Advertisement
“Saya sangat obses dengan nombor. Saya juga obses dengan hal-hal yang perlu dilakukan dengan terperinci.
“Saya suka semuanya tersusun. Dan saya seorang yang punya memori kuat.
“Melihat semua sikap itu, Arroyone mendakwa saya sebagai seorang Asperger. Saya tidak faham apa yang dia maksudkan dan tidak mempercayainya,” dedah Hopkins seperti dilaporkan People.
Asperger merujuk kepada sindrom yang pernah dianggap sebagai gangguan terpisah tetapi kini dimasukkan di bawah diagnosis Gangguan Spektrum Autisme (ASD).
Individu yang mempunyai ciri-ciri ini mengalami kesukaran dalam interaksi sosial, mempunyai minat yang sangat terfokus, dan cenderung kepada rutin serta struktur, tetapi mereka selalunya mempunyai kebolehan bahasa dan kognitif yang tinggi, hurai Hello Doktor.
Hopkins, 87, bagaimanapun tidak ambil peduli mengenai pandangan isterinya.
Pemenang Oscar itu malah mendakwa label untuk setiap penyakit atau terma seperti autism, ADHD, OCD sudah menjadi satu fesyen pada masa kini.
Menurutnya lagi, beliau hanya menjalani hidup sebagai manusia biasa yang penuh misteri dan banyak perkara berselirat serta kegilaan.
“Ini semua adalah sikap biasa manusia. Semua label itu, maksud saya siapa peduli? Tapi hari ini ia menjadi fesyen,” katanya lagi.
Terkini, bintang The Silence of The Lambs itu akan muncul dengan memoir berjudul We Did OK, Kid.