Sekilas
- Iqbal Zulkefli berkongsi pengalaman pertama kali berlakon dalam drama Perempuan Itu TV3 yang menyebabkan Zul Ariffin hilang sabar kerana dia sukar menghafal skrip.
- Semasa penggambaran hari pertama, skrip terpaksa diletakkan di atas meja untuk memudahkan Iqbal mengikuti jalan cerita.
- Selepas beberapa hari, Iqbal mengambil kelas lakonan bersama Ogy Ahmad Daud dan penggambaran berjalan lancar sepanjang 30 hari.
Pempengaruh media sosial dan usahawan, Iqbal Zulkefli berkongsi pengalaman awalnya ketika pertama kali berlakon dalam sebuah drama tempatan sehingga membuatkan aktor terkenal Zul Ariffin hilang sabar.
Menerusi perkongsian di Threads, Iqbal berkata insiden itu berlaku pada hari pertama penggambaran drama tersebut yang turut dibintangi aktres Mimi Lana.
Menurutnya, ketika itu dia masih baru dan sedikit sukar untuk menghafal skrip, sekali gus menjejaskan kelancaran penggambaran.

“Teringat masa pertama kali saya berlakon Perempuan Itu TV3 dengan Zul Ariffin dan Mimi Lana.
“Hari pertama tu sampai hilang sabar Zul Ariffin keluar sebab saya tak dapat hafal skrip.
“Akhirnya masa shooting tu mereka letak skrip dekat atas meja,” kongsi Iqbal.
Bagaimanapun, Iqbal berkata keadaan bertambah baik selepas beberapa hari apabila dia mengambil inisiatif untuk mengikuti kelas lakonan kendalian pelakon berpengalaman, Ogy Ahmad Daud.
“Selepas beberapa kali shooting tu, saya terus pergi ambil kelas Ogy Ahmad Daud dan semua jadi lancar shooting 30 hari.
Alhamdulillah… itu betul-betul pertama kali terus dapat watak besar. Berdebar sangat sebab mereka pelakon hebat,” tulisnya lagi.
Pendedahan itu dibuat selepas seorang pengguna media sosial bertanya mengenai bagaimana para pelakon mampu mengekalkan momentum menghafal skrip dari semasa ke semasa, memandangkan ia adalah sesuatu yang sukar dilakukan.
Sumber: Threads