Sekilas
- Mierul Aiman buat debut nyanyi lagu raya Duit Raya bersama Shahrul Kamal sebagai satu eksplorasi seni, bukan serius nak jadi penyanyi sepenuh masa.
- Dia tulis sendiri lirik rap dalam lagu itu kerana minat lama terhadap hip hop dan suka penceritaan dalam muzik.
- Mierul juga bakal jadi watak utama dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang akan ditayangkan pada 7 Mei 2026 di pawagam seluruh negara.
Pelakon Mierul Aiman tampil mengulas mengenai debut pertama sebagai penyanyi menerusi lagu raya Duit Raya bersama penyanyi Shahrul Kamal.
Menurut Mierul, penglibatannya dalam lagu tersebut sekadar satu eksplorasi seni dan bukan langkah serius untuk bergelar penyanyi sepenuh masa.
“Alhamdulillah, saya sebenarnya tidaklah mengambilnya terlalu serius sebagai penyanyi tetap. Bagi saya dalam muzik, perkara paling penting adalah kita merasainya.
“Bila saya dapat peluang untuk menulis sendiri lirik rap itu, saya lebih suka kerana rap bagi saya adalah penceritaan,” katanya.
Tambahnya, minat terhadap genre hip hop sudah lama wujud, namun sebelum ini dia hanya sekadar pendengar dan belum pernah mencuba menghasilkan karya sendiri.
“Bila saya tulis lirik sendiri, saya lebih selesa dan lebih ‘rasa’ setiap perkataan yang saya sebut.
“Saya memang minat hip hop, cuma sebelum ini hanya sebagai pendengar sahaja,” ujarnya.
Menurut Mierul, penglibatan dalam muzik juga merupakan sebahagian daripada usahanya untuk mengembangkan bakat dalam pelbagai cabang seni.
“Ini satu eksplorasi seni. Sebagai pengkarya, kita perlu sentuh pelbagai bentuk seni seperti menyanyi, menari dan berlakon untuk kembangkan cita rasa,” katanya.
Bagaimanapun, Mierul menasihatkan peminat tidak meletakkan sebarang jangkaan terhadap perancangan masa depannya dalam bidang nyanyian buat masa ini.
“Saya rasa jangan jangkakan apa-apa daripada saya lagi. Saya jenis ‘cowboy’, buat apa yang saya suka selagi ia beri kepuasan dalam seni saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mierul memaklumkan persiapan Aidilfitri tahun ini berjalan seperti biasa dengan meluangkan masa bersama keluarga.
Menerusi perkembangan lain, Mierul bakal tampil sebagai watak utama dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.
Selain Mierul, filem arahan Razaisyam Rashid itu bakal menampilkan gandingan pelakon popular seperti Aedy Ashraf, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.
TARUNG: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti ialah orang terdekatnya satu ketika dahulu.