Sekilas
- Imranul Effendy jelaskan dia bukan adik kandung pelakon Norreen Iman, sebaliknya mereka rapat sejak awal Imranul berhijrah ke Kuala Lumpur.
- Norreen banyak membantu Imranul dan adiknya dengan menyediakan tempat tinggal dan sokongan sepanjang mereka mula berjinak dalam dunia konten.
- Imranul kagum dengan ketabahan dan usaha keras Norreen dalam industri hiburan, menjadikannya sumber inspirasi dan benchmark dalam kerjaya.
Personaliti media sosial, Imranul Effendy akhirnya menjelaskan kekeliruan ramai mengenai statusnya kekeluargaannya bersama pelakon, Norreen Iman.
Imran mendedahkan perkara itu menerusi satu temu bual dalam podcast My Audio Plus iaitu Bukak Mulut baru-baru ini, selepas timbul pelbagai andaian dalam kalangan netizen yang menyangka mereka mempunyai hubungan adik-beradik kandung.
Menurut Imran, tanggapan tersebut sebenarnya tidak tepat, sebaliknya hubungan mereka terjalin secara tidak langsung sejak awal penghijrahannya ke Kuala Lumpur.
“Saya sebenarnya bukan adik betul Norreen, ceritanya, bila saya datang Kuala Lumpur dengan adik, saya tiada siapa-siapa pada ketika itu.
“Saya dan adik pergi ke TikTok event, ketika itu orang yang pertama tegur adalah Kak Norreen, dari situlah kami kenal dia.
“Kak Norreen yang jaga kami, selepas event itu dia bawa kami makan, memang dia jaga kami betul-betul,” jelasnya.
Dalam pada itu, Imran juga turut berkongsi, sepanjang tempoh awal di Kuala Lumpur, Norreen banyak membantu mereka termasuk menyediakan tempat tinggal setiap kali dia berulang-alik dari Johor Bahru.
“Semasa tinggal di Johor Bahru bersama adik, saya sering ulang alik ke Kuala Lumpur dan tidur di rumah Kak Norreen, dialah yang jaga.
“Dari situlah kami buat konten sama-sama. Semua orang ingat saya adik dia, begitulah ceritanya,” ujarnya.
Mengulas mengenai Norreen, Imran berkata dia amat mengagumi ketabahan serta usaha keras wanita yang dianggap seperti kakak itu membina nama dalam industri, sekali gus menjadikannya sebagai sumber inspirasi.
“Dia seorang wanita yang sangat kuat dan bekerja keras, dengan peluang yang ada ini saya nak ucapkan terima kasih kepada Kak Norreen sebab tolong saya dengan Izlan (adik) selama kami berada di KL.
“Dari kami Zero sampai sekarang Kak Norreen selalu beri sokongan pada kami. Terima kasih juga kepada abang Razzi iaitu suami Kak Norreen.
“Kak Norreen tabah, kuat dan kreatif sebab saya tengok dia mula buat konten sejak jual insurans dahulu sampailah sekarang.
“Jadi bayangkanlah kepayahannya nak sampai daripada zero kepada one hundred. Nak jadi artis susah, saya respek dia. Dia adalah benchmark saya,”ujarnya.
Sumber: Instagram @myaudiopluss