Sepanyol menjadi negara keempat, mengikut jejak langkah Australia, Perancis dan Denmark dalam usaha menjaga kesejahteraan remaja dengan mengharamkan penggunaan medi sosial buat pengguna di bawah usia 16 tahun.
Perdana Menteri, Pedro Sánchez menerusi ucapannya menyifatkan golongan kanak-kanak dan remaja di Sepanyol telah terdedah dengan keburukan termasuk pornografi, keganasan dan manipulasi menerusi penggunaan platform media sosial.
“Anak-anak kita telah terdedah dengan medium yang membuat mereka ketagih menonton penderaan, pornografi, keganasan dan manipulasi. Kami tidak akan lagi menerima ini. Kami akan melindungi mereka daripada digital Wild West,” ujar Sánchez seperti dilaporkan CNN.
Dalam ucapannya di World Governments Summit di Dubai, beliau menegaskan kerajaan Sepanyol bakal memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan jenayah siber dan kegagalan pihak yang membuang konten bersifat kebencian.
“Kami akan mematikan algoritma yang bersifat manipulatif serta konten berkaitan jenayah. Menyebarkan kebencian akan berdepan tindakan,” katanya lagi.
Pada Disember tahun lalu, Australia menjadi negara pertama di dunia yang mengharamkan penggunaan media sosial termasuk Facebool, TikTok, Instagram, Snapchat dan X buat remaja di bawah 16 tahun. Langkah lebih kurang sama diambil oleh Perancis diikuti Denmark yang mengumumkan menyekat remaja di bawah usia 15 tahun mengakses media sosial.
KREDIT FOTO: VOCAL MEDIA