Sekilas
- Eric Fuzi dari Floor 88 lega kerana kebanyakan hutang berjumlah RM50,000 yang tertunggak berjaya dilangsaikan secara berperingkat oleh penghutang.
- Hutang tersebut berkaitan urusan kerja dan perniagaan, bukan pinjaman peribadi, dan masih ada baki 20 hingga 50 peratus yang sedang dibayar secara ansuran.
- Eric menghargai penghutang yang bertanggungjawab tetapi ada juga yang hilang tanpa khabar, dan dia berharap baki hutang dapat diselesaikan secara baik tanpa tindakan serius.
Pelakon yang juga anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi, berasa lega apabila beberapa individu yang berhutang dengannya sebelum ini telah tampil melangsaikan hutang.
Menurut Eric atau nama lengkapnya Muhamed Eric Muhamed Fuzi, kebanyakkan hutang yang pada awalnya mencecah RM50,000 telah berjaya diselesaikan penghutang secara berperingkat.
“Alhamdulillah, kebanyakan mereka sudah bayar selepas saya buat keluhan di hantaran media sosial sebelum ini.
“Sekarang ini yang berbaki mungkin sekitar 20 hingga 50 peratus sahaja. Ada juga yang masih membuat bayaran sedikit demi sedikit,” katanya kepada Gempak.
Namun begitu, Eric yang juga pemain keyboard mengakui masih ada beberapa individu lagi yang gagal membayar hutang.
“Ada yang masih berhubung dan bertanggungjawab, itu saya hargai. Tapi tidak dinafikan, masih ada yang menghilang terus dan tidak dapat dihubungi,” katanya.
Eric berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun di Hotel Sunway Putra, pada Selasa.
Bercerita lanjut, pelakon drama Malaysian Ghost Stories ini berkata, hutang berkenaan melibatkan urusan kerja dan perniagaan dan bukan berpunca daripada isu meminjam wang daripadanya.
Sungguhpun begitu, Eric tidak terfikir untuk mendedahkan mana-mana individu yang berhutang dengannya.
“Dalam bisnes, kita belajar untuk lebih membaca sikap dan amanah seseorang.
“Kadang-kadang kita berkawan lama, tetapi bab tanggungjawab tetap lain pula ceritanya,” katanya.
“Saya tidak mahu bawa perkara ini ke tahap yang lebih serius. Biar mereka selesaikan secara baik. Saya hanya berharap mereka terus bertanggungjawab dalam melunaskan baki hutang tersebut,”ujarnya
Terdahulu, Eric pernah meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa ada beberapa pihak culas melunaskan hutangnya sekitar September lalu.
Ujar Eric, situasi itu memberikan kesan besar terhadap dirinya sehingga menjejaskan komitmen bulanannya.