Mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang masih keliru mengenai perbezaan antara khunsa dan transgender terutamanya apabila bercakap mengenai isu berkaitan identiti jantina.
Menurut pendakwah bebas, PU Razi dari sudut ilmu fiqah, khunsa merujuk kepada individu yang dilahirkan dengan dua alat kelamin, iaitu alat kelamin lelaki dan perempuan.
“Dalam fiqah, khunsa ini dibahagikan kepada dua. Pertama ialah khunsa wadih, iaitu yang jelas. Maksudnya sejak bayi lahir lagi sudah boleh dikenal pasti sama ada individu itu lebih kepada lelaki atau perempuan berdasarkan alat kelamin yang berfungsi,” katanya kepada Gempak.
Tambahnya, dalam keadaan tersebut biasanya dapat dilihat sejak kecil alat kelamin mana yang lebih dominan dan berfungsi.
Selain itu, terdapat juga kategori khunsa musykil, iaitu keadaan yang lebih sukar untuk ditentukan pada peringkat awal.
“Kadang-kadang masa kecil tidak dapat dipastikan. Jadi perlu tunggu sehingga individu itu baligh untuk melihat alat kelamin mana yang sebenarnya berfungsi,” ujarnya.
Dalam masa sama, PU Razi juga menegaskan bahawa keadaan tersebut berbeza dengan individu transgender.
Menurutnya, transgender merujuk kepada individu yang dilahirkan dengan satu jantina yang jelas tetapi merasakan dirinya sebagai jantina yang lain.
"Tetapi apabila satu orang ni dia transgender. Dia asal memang lelaki tetapi dia kata sifat naluri dialah, perempuan terperangkap dalam diri dialah, macam-macam kenyataan yang dia keluarkan. So ini hukum dia haram. Sebab memang dia haram dari sudut dia memang; dia tidak ada dua alat kelamin.
"Dia memang lahir-lahir lelaki tetapi dia lembut, daripada kecil suka mekap. Aa yang ini yang orang sebut sebagai transgender. Yang ini tak boleh ataupun hukum dia haram apabila menyerupai jantina yang lain daripada asal dia. Contoh kalau dia lelaki, tiba-tiba nak tukar jadi perempuan. Perempuan nak tukar jadi lelaki.
"Ini ada dalam hadislah, yang mana Nabi Muhammad bersabda telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.
“So, kalau tanya balik mengenai cerita Amira Amir baru-baru ini yang tular, adakah dia ni transgender ataupun khunsa? Ada orang. Dia khunsa. Sebab tu dia buat operation sebab dia buat pilihan dia nak jadi perempuan. Tapi kalau dia transgender, memang alat kemaluan dia satu saja, so dia ni dilaknatlah dan hukum dia haram," katanya lagi.
Amira Amir diarahkan oleh Reen Imran dan dibintangi oleh Zahiril Adzim, Sophia Albarakbah, Fezrul Khan, Zarynn Min dan Kartina Aziz.
Sebagai pelengkap penceritaan, Amira Amir menampilkan lagu tema ‘Hati Yang Tak Terbalas’ yang dibawakan oleh penyanyi bersuara emas, Marsha Milan.
Amira Amir kini ditayangkan secara eksklusif di pawagam rumah anda, Astro First bermula 26 Februari 2026.
Seiring dengan mesej ramadan Astro tahun ini iaitu ‘Bila Bersama Lagi Jadi’, filem ini lebih menarik dinikmati bersama insan tersayang secara beramai-ramai apabila melanggan dengan hanya satu harga, iaitu RM15 di platform Astro dan sooka dalam tempoh 48 jam.
Sinopsis:
Amira Amir mengisahkan Ziyad, seorang lelaki yang berkahwin atas dasar cinta pandang pertama bersama Amira. Kehidupan rumah tangga yang dibina atas kepercayaan mula runtuh apabila satu kebenaran besar tentang identiti Amira terbongkar, sekali gus mengubah keseluruhan hidup, prinsip dan persepsi Ziyad terhadap cinta serta ikatan perkahwinan.
Lebih sekadar kisah cinta, Amira Amir meneroka konflik yang lebih besar iaitu realiti menyembunyikan kebenaran yang melanggar hukum dan memberi impak mendalam bukan sahaja kepada hubungan peribadi, tetapi juga kepada penerimaan dan persepsi masyarakat. Filem ini mengajak penonton menilai sejauh mana masyarakat bersedia memahami individu yang ‘berbeza’.