Sekilas
- Pelakon Datin Intan Najuwa dedah ada individu tinggalkan komen negatif terhadapnya dan keluarga di laman sosialnya.
- Individu tersebut telah padam akaun Instagram selepas dihubungi pihak peguam Intan.
- Intan sudah senaraikan beberapa nama untuk dihantar surat tuntutan (LOD) dan akan ambil tindakan undang-undang jika tiada kerjasama.
Pelakon Datin Intan Najuwa menyedari terdapat individu yang meninggalkan komen negatif melibatkan dirinya sekeluarga di laman sosial miliknya.
Intan menerusi Threads berkata individu itu bagaimanapun mengambil langkah memadam akaun Instagram selepas dihubungi pihak peguamnya.
“Dia bercakap buruk mengenai saya dan keluarga di foto saya. Dia juga mempunyai akaun Instagram tapi sekarang dah tak ada selepas saya dan peguam saya hubunginya,” kongsinya.
Tambah Intan lagi, dia sudah menyenaraikan beberapa nama individu yang meninggalkan komen melampau untuk diberikan surat tuntutan atau ‘Letter Of Demand’ (LOD).
“Saya sudah senaraikan beberapa nama untuk hantar LOD sebab ada antara mereka yang melampau. Saya sentiasa menjaga baik dan tak menganggu orang lain tapi sekarang ini saya rasa cukuplah,” katanya.
Dalam pada itu, Intan turut menjelaskan surat itu diberikan untuk individu tersebut memohon maaf secara peribadi namun dia bakal mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak membalas atau mengabaikan tuntutan tersebut.
“LOD pada asasnya memberi dia peluang untuk membalas saya secara peribadi dan meminta maaf. Ini adalah notis yang wajar untuk membiarkan dia menjelaskan dirinya atau menyelesaikan perkara.
“Jika dia tidak membalas atau mengabaikannya, maka ia pergi ke langkah seterusnya, yang bermaksud peguam saya akan meneruskan tindakan undang-undang.
“Jika tiada kerjasama, maka kes diteruskan ke mahkamah. Dan sudah tentu, sebaik sahaja ia pergi ke langkah seterusnya, semua butiran dan identitinya akan dikesan dan disahkan melalui proses undang-undang yang betul,” katanya lagi.
Threads - Intan Najuwa