Penyanyi, Heliza Helmi memohon doa orang ramai selepas memaklumkan bapanya, Helmi Mohd Hasbi terlibat dalam satu kemalangan motosikal. 
Berita itu dikongsikan sendiri oleh Heliza menerusi satu hantaran di platform Threads. 
Menurut Heliza dia menerima panggilan kecemasan itu sewaktu sedang mengikuti satu mesyuarat. 
“Tadi saya ada meeting tiba-tiba adik lelaki saya call. Dia jarang call, jadi rasa pelik tapi masa tu saya bagi tahu sedang dalam meeting. Sekali dia bagi tahu ayah saya kemalangan motor terus gugur rasa jantung,” tulisnya. 
Selepas menerima berita itu, dia segera menghubungi adiknya semula melalui panggilan video untuk melihat keadaan bapanya yang cedera.
Penyanyi lagu Keamanan itu turut memohon agar orang ramai sama-sama menitipkan doa untuk kesembuhan segera bapanya yang kini sedang menerima rawatan.
“Terus call adik dan video call nak tengok keadaan abah. 
“Doakan abah cepat sembuh dan tak ada apa-apa mudarat. Luka abah banyak tempat dan besar, abah macam sakit bahagian dalaman. Nak minta doakan Abah (Helmi bin Hj Mohd Hasbi) boleh?” tulisnya lagi. 
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan selebriti turut menitipkan doa buat kesembuhan bapa Heliza. 
 
     
 
                                       
                                       
                                       
                                      