Konsert Healing Night 2026 bakal memberikan pengalaman unik kepada peminat muzik tanah air.
Menggunakan terma masa kini yang cukup sohor iaitu healing yang bermaksud pemulihan atau fasa penyembuhan diri.
Advertisement
Idea ini merupakan inisiatif penganjur dan juga selaku ‘presenter’ iaitu Kembar Nusantara Sdn Bhd disokong oleh Creative Page Sdn Bhd untuk produksi manakala Yumeca Sdn Bhd untuk strategi, pemasaran, tajaan serta penglibatan pengguna.
Kerjasama tiga syarikat ini menyempurnakan pelaburan dari pelbagai aspek ke arah Healing Night yang merupakan sebuah keraian bersifat semangat positif.
Menurut penganjur, Healing Night 2026 merupakan acara julung kali yang dianjurkan bukan sekadar tentang hiburan semata-mata tetapi mengajak penonton menikmati semangat positif yang disebarkan menerusi muzik.
Oleh yang demikian penghibur yang dipilih menjayakan konsert berskala besar dengan misi ‘aman’ ini juga merupakan dalam kalangan penyanyi yang cukup berkaliber iaitu Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah daripada Malaysia sementara Kangen Band dan Lyodra akan mewakili Indonesia sebagai satu apresiasi seni Nusantara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Herman Aziz, tema healing yang diterapkan dalam Healing Night 2026 adalah sebagai salah satu inisiatif yang mahu ditonjolkan bahawa hiburan atau muzik bukan sesuatu yang ‘keras dan bingit’ serta bersifat negatif jika dianjurkan secara berhemah.
“Selepas pandemik kita melihat masyarakat dunia memilih fasa pemulihan atau healing dengan pelbagai cara.
“Salah satu cara yang kami sifatkan sebagai fasa pemulihan ini adalah melalui terapi muzik. Ia akan dibarisi oleh penghibur tersohor negara seperti Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah.
“Untuk menyuntik semangat Nusantara, kami membawakan dua penghibur Indonesia iaitu Kangen Band dan Lyodra.
“Healing Night 2026 bukan sekadar konsert biasa tetapi pesta atau keraian tentang menikmati muzik sebagai salah satu proses terapeutik yang menyenangkan.
“Apa lagi ia melibatkan semua pihak yang bersifat ikonik baru daripada barisan penghibur, tenaga belakang tabir serta lokasi,” ujarnya.
Lebih menarik, tema ini diterjemahkan secara menyeluruh bukan sekadar pada persembahan muzik, namun pada suasana konsert, reka bentuk pentas, serta aktiviti- aktiviti berinspirasikan kesejahteraan seperti healing tents dan relaxation zones untuk para penonton.

Penganjuran Healing Night 2026 ini juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau MOTAC yang menyifatkan pesta ini sebagai inisiatif yang mampu memperkenalkan budaya serta keunikan seni di Malaysia.
Healing Night 2026 dijadual berlangsung pada 24 Januari 2026 di lokasi ikonik, Stadium Merdeka Kuala Lumpur, jam 8 malam.
Tiket dengan pelbagai kategori harga boleh dibeli menerusi pembelian di Ticket2u.