Sekilas
- Ben Ali berkongsi keputusan SPM yang kurang memberangsangkan dengan hanya satu A dalam Engineering Drawing dan B dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.
- Impiannya untuk menjadi arkitek terpaksa dilupakan kerana kekangan keluarga, namun dia kini melihat dirinya sebagai 'arkitek' dalam dunia perniagaan.
- Ben menasihati pelajar agar tidak mudah berputus asa kerana mungkin ada peluang lebih baik menanti di masa hadapan.
Pelakon dan usahawan, Ben Ali mendedahkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya suatu ketika dahulu bukanlah sesuatu yang membanggakan.
Malah menerusi perkongsian di platform Threads, Ben berkata dia hanya memperoleh satu A dalam subjek ‘Engineering Drawing’, manakala Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula sekadar B sahaja.
“SPM dulu saya dapat 1A sahaja, itu pun subjek Engineering Drawing, English dan BM saya dapat B. Yang lain result hancur.
“Lepas itu cita-cita dari kecil nak jadi arkitek pun terpaksa dilupakan kerana keluarga tak mampu.
“Masa umur 18, saya pernah salahkan nasib. Kenapa lah keluarga aku tak macam keluarga yang lain,” kongsinya.
Bagaimanapun kata Ben, perjalanan masa telah mengubah segalanya dan walaupun impiannya untuk bergelar arkitek tidak berjaya namun dia melihat apa yang dilaluinya sebelum ini mempunyai hikmah tertentu.
Lebih menarik lagi, Ben menyifatkan dirinya tetap menjadi ‘arkitek’, tetapi dalam konteks yang berbeza iaitu dalam dunia perniagaan.
“Fast forward ke hari ini. Saya sangat lah bersyukur dengan apa yang saya perlu lalui dahulu.
“Kalau bukan kerana segala cabaran dan dugaan tersebut. Saya tak akan berada di sini.
“Yang paling best, rupa-rupanya saya dapat jadi arkitek tapi bukan dalam bidang buat rumah atau bangunan.
“Tapi arkitek di dalam perniagaan saya sendiri dengan meracang dan melukis plan marketing, floorplan dan menukar dari hanyalah sebuah idea menjadi kenyataan.
“Saya mungkin tidak melukis di atas kertas. Tapi saya sentiasa melukis di dalam fikiran saya,” coretnya.
Dalam pada itu, Ben turut menitipkan pesanan agar para pelajar tidak mudah berputus asa sekiranya perancangan tidak menjadi seperti yang diharapkan.
“Kadang-kadang perancangan tu mungkin tak seperti apa yang kita harapkan.
“Tapi mungkin ada benda yang lebih baik menanti kita di masa hadapan,” tulisnya.