Anak kepada usahawan sensasi Datuk Seri Vida (DSV), iaitu Cik B, tampil bersuara mempertahankan ibunya selepas isu jualan lelong barangan mewah milik mereka menjadi tular petang semalam.
Dalam satu siaran langsung di media sosial, Cik B menegaskan bahawa orang ramai tidak sepatutnya memperlekeh atau menuduh mereka jatuh miskin, sebaliknya memahami bahawa ibunya masih berjuang dan mampu berdiri sendiri walaupun berdepan pelbagai ujian hidup.
“Tak baik cakap kami miskin, tak ada duit. Mama saya kuat. Dia ibu tunggal yang kerja keras dari dulu sampai sekarang. Orang boleh cakap macam-macam, tapi dia tetap berdiri sendiri,” katanya.
Advertisement
Cik B turut menjelaskan bahawa situasi yang menimpa DSV berpunca daripada projek pembinaan studio yang tergendala sejak 2018, membabitkan isu antara kontraktor utama (maincon) dan subkontraktor (subcon) yang gagal menunaikan janji walaupun telah menerima bayaran besar.
“Mama bayar kat maincon, tapi maincon tak bayar kat subcon. Mama dah bayar habis RM6 juta, bangunan tu pun Mama beli RM19 juta.
"Waktu tu Cik B umur 12 tahun, tak tahu apa-apa. Sekarang baru faham. Ramai orang ambil kesempatan dengan Mama – kawanlah, staf lah, semua nak guna dia. Saya kasihan tengok Mama,” ujarnya.
Menurut Cik B, ibunya kini menanggung tekanan emosi dan kewangan tanpa tempat untuk meluahkan perasaan, namun tetap memilih untuk terus kuat dan positif.
“Mama saya tak minta simpati. Dia cuma nak teruskan hidup. Orang boleh jatuh, tapi tak semestinya terus kalah,” katanya lagi.
Terdahulu, sebanyak 727 barangan peribadi milik DSV termasuk tiga kereta mewah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hi-Ace dan BMW X7 telah dilelong dengan jumlah bidaan tertinggi mencecah RM1 juta.
 
     

 
                                       
                                       
                                       
                                      