Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali akui terkejut apabila ada pihak yang tersalah tafsir serta meninggalkan komen negatif terhadap hantarannya di sosial media.
Jelas Nabila, hantaran itu bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu namun mendapat kecaman daripada netizen.
“Saya minta maaf sangat-sangat, tapi saya terpaksa buat video ni sebab nak jelaskan beberapa perkara. Ceritanya macam ni, saya ada post sesuatu di Threads dan ia sangat umum, tak tujukan pada sesiapa pun. Tapi entah kenapa, ada pula yang komen bukan-bukan. saya pelik.
“Bella faham kalau orang tu buat jahat, memang patut kena kecam. Tapi kalau orang tu buat baik, sebarkan kebaikan pun masih kena cari salah. Kenapa susah sangat nak jadi manusia yang suka tengok kebaikan orang lain tanpa rasa sakit hati?” katanya dengan nada kecewa.
Pada masa sama, pelantun lagu Pematah Hati itu tidak faham mengapa masih wujud individu yang lebih selesa mengkritik daripada menghargai kebaikan yang dilakukan orang lain.
Baginya, tidak semua yang menunjukkan kebaikan di media sosial mempunyai niat untuk menunjuk. Ada antaranya yang benar-benar ikhlas, namun disalah tafsir oleh mereka yang memiliki hati negatif.
“Kadang-kadang orang yang buat baik tu mungkin betul-betul ikhlas, tak ada niat nak menunjuk pun. Tapi sebab hati kita yang tak tenang, kita nampak semua benda tu fake.Jadi sebenarnya masalahnya bukan pada orang yang buat baik, tapi pada diri kita sendiri.
Advertisement
“Kalau korang nak terus cari kesalahan orang lain, teruskanlah. Tapi jangan lupa, mungkin orang yang korang kutuk tu sebenarnya tengah doakan yang baik-baik untuk korang,” ujarnya.
Terdahulu, Nabila Razali menjadi tumpuan netizen selepas membuat satu hantaran dengan mengatakan tidak perlu membuat baik sekadar untuk mendapat nama.
Bagaimanapun, Nabila Razali diserang netizen selepas menganggap hantara itu ditujukan kepada seorang selebriti.