Skip to main content

Hiburan

Hadiri Banyak Program Dakwah, Sabri Yunus Risau Ada Yang Mula Panggil Angeline Tan Penceramah - “Kesian Juga Dia Masih Baru Tapi…”

dfvd

Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus berkongsi pengalaman hidup berumah tangga bersama isterinya, pelakon Angeline Tan, selepas memeluk Islam tahun lalu.

Menurut Sabri, perkahwinan mereka bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi juga dua budaya yang berbeza, sesuatu yang mengajarnya banyak tentang nilai tolak ansur dan saling memahami.

Advertisement

“Sekarang ni perkahwinan kami membentuk sedikit perubahan sebab budaya yang lain. Jadi ada ruang untuk saya mengenal budaya dia.

“Kena belajar bertolak-ansur sebab benda baru masuk kan. Oh, budaya dia macam ni, kita tak boleh tekan sangat. Kita kena faham dulu budaya dia,” ujarnya kepada Gempak 

Selain itu, Sabri turut mengakui dia kini sedikit risau apabila Angeline sering dijemput menghadiri majlis atau program bual bicara, sehinggakan ada yang memanggilnya sebagai penceramah, meskipun masih baharu dalam dunia dakwah.

“Awal-awal ni orang panggil dia ke majlis, ada moderator tanya soalan senanglah nak jawab. Tapi akhir-akhir ni ada juga panggil dia seorang, satu jam cakap sorang-sorang, tanpa soalan. Saya mula risau dan kesian juga dia,” katanya.

Bagaimanapun, Sabri tetap berbangga dengan semangat dan keberanian isterinya yang sentiasa terbuka mencuba perkara baharu.

“Dalam masa sama, bagus untuk dia cuba. Satu perkara tentang Angeline, dia sangat berani. Dia berani cakap apa yang dia tahu dan dia pegang pada ilmu tu.

“Saya pesan jangan cuba lebihkan daripada itu, bahaya untuk kita. Selalu cakap apa yang tahu, belajar dan jangan merendahkan orang lain,” katanya lagi.

Angeline atau nama Islamnya Ardini, mendirikan rumah tangga dengan Sabri Yunus pada 14 Oktober 2023 dan memeluk Islam pada 26 September tahun sama.

Terdahulu, Angeline dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul 2025 bagi Kategori Saudara Baru Cemerlang sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam majlis penuh istiadat yang turut dihadiri pemimpin negara serta para agamawan.

Dalam pada itu, Sabri Yunus kini bakal tampil menerusi filem seram terbaharu Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofea Jane, Sasha Abedul, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.

Filem itu mengisahkan Mawar (lakonan Shasha), seorang gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah. Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.

Must-Watch Video

Advertisement