Pelakon, Raja Ilya menyorot perhatian warganet selepas memberi kata-kata semangat buat rakan seindustri, Uqasha Senrose menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian tersebut, Raja Ilya menyatakan rasa empati terhadap situasi yang sedang dilalui Uqasha.
Advertisement
“Uqasha sayang, saya tahu sekarang mungkin rasa macam semuanya sedang berantakan, hati pun berat. Tak apa untuk rasa penat, kecewa, bahkan putus asa. Tapi jangan pernah ragu satu perkara, Uqasha awak seorang mama yang luar biasa,” tulisnya.
Dalam pada itu, Raja Ilya turut menzahirkan kekaguman terhadap kasih sayang serta pengorbanan Uqasha dalam membesarkan anaknya.
Raja Ilya turut menyentuh tentang realiti kehidupan berumah tangga yang penuh cabaran dan memerlukan ketabahan tinggi daripada kedua-dua pihak.
“Kasih sayang, kesabaran dan perhatian yang awak curahkan untuk anak setiap hari itulah cahaya awak, dan ia lebih berharga daripada apa yang awak sedar.
“Perkahwinan itu kan macam yang Trent selalu kata, ‘two become one is not easy’. Ia memang tidak mudah dan tidak akan pernah mudah. Ia akan menguji kita, menolak kita sampai ke had, malah kadang-kadang boleh mematahkan semangat. Tapi itu tak bermakna semuanya sudah berakhir,” tambahnya.
Dia turut mendoakan agar Uqasha terus dikurniakan kebahagiaan dan ketenangan dalam kehidupannya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet yang memuji keikhlasan Raja Ilya serta mendoakan agar Uqasha terus kuat dan tabah menghadapi dugaan.