Pelakon, Arena Wan mengakui tidak mudah untuk membawakan watak Ezie, seorang atlet gimnastik dalam drama terbaharu Astro Originals iaitu Generasi: Perfect 10.
Menurut Arena, projek ini menuntut komitmen fizikal dan mental yang tinggi kerana melibatkan elemen sukan gimnastik iaitu satu cabang sukan yang terkenal dengan tahap kesukarannya.
Advertisement
“Saya tahu projek ini berkaitan dengan gimnastik, jadi apabila menerima tawaran, kami diberitahu akan menjalani latihan intensif selama sebulan sebelum penggambaran bermula.
“Namun, kalau diikutkan, tempoh sebulan memang tidak mencukupi kerana seperti yang kita semua tahu, gimnastik bukan sukan yang mudah,” katanya ketika ditemui Gempak.
Dalam pada itu, Arena turut mengimbau kembali kenangan sewaktu sesi latihan yang memerlukan ketahanan fizikal luar biasa.
“Atlet sebenar berlatih bertahun-tahun sejak kecil lagi. Jadi bila kami mula latihan, jujur saya cakap memang ‘koyak’. Hari pertama sahaja saya dah rasa nak menangis.
“Saya pula tak fleksibel, nak buat split pun memang tak boleh. Tapi hampir setiap hari kami berlatih tanpa henti,” kongsinya.
Bagaimanapun kata Arena, di sebalik cabaran yang ditempuhi, dia menganggap pengalaman tersebut amat berbaloi dan membuka matanya terhadap dunia sebenar atlet gimnastik.
“Saya sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa saya memikul tanggungjawab besar dalam projek ini. Saya bukan sekadar berlakon, tetapi juga mewakili semangat dan pengorbanan atlet negara kita.
“Mereka berlatih bertahun-tahun demi mengharumkan nama Malaysia di pentas besar seperti Olimpik.
“Jadi walaupun sakit, sakitlah… koyak pun koyaklah. Yang penting saya dapat lakukan dengan sebaik mungkin dan saya sangat berpuas hati pada akhirnya,” ujarnya.
Selain Arena, Generasi: Perfect 10 arahan Sling Ng ini dibintangi oleh Arabella Ellen, Sofia Jane, Ellyza Azizi, Daniel Fong, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis.
Saksikan Generasi: Perfect 10 secara eksklusif di Astro Ria, Astro Citra, Astro GO dan aplikasi sooka.
Siri ini mengisahkan watak utama Ezie, lakonan Arena Wan, yang sejak kecil meminati sukan gimnastik.
Namun, perjalanan hidupnya berubah selepas kelab gimnastik sekolah ditutup sebelum dia nekad menyertai sebuah akademi sukan berprestij.