Sekilas
- Gema Raya Putrajaya 2026 akan berlangsung selama 33 hari di PICC bermula 15 Februari hingga malam raya, dijangka menarik lebih 800,000 pengunjung.
- Festival ini menampilkan lebih 300 vendor dengan pelbagai barangan perayaan dan hiburan dari artis popular seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, dan Khai Bahar.
- Selain jualan dan persembahan, program Nur Ramadan dan cabutan bertuah Proton e.MAS turut disediakan untuk pengalaman yang lebih bermakna dan menyeronokkan.
Putrajaya bakal menjadi tumpuan utama lokasi perayaan apabila Gema Raya Putrajaya 2026 diumumkan sebagai festival Ramadan dan Aidilfitri terbesar di negara ini yang akan berlangsung selama 33 hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 15 Februari hingga malam raya.
Festival raya berskala mega ini dijangka menarik kehadiran lebih 800,000 pengunjung, sebuah angka yang mencerminkan sambutan luar biasa daripada rakyat yang mahu merasai suasana perayaan yang bukan sekadar meriah tetapi juga inklusif serta mesra semua golongan.
Menurut penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal, festival tersebut akan menampilkan lebih 300 vendor yang menawarkan pelbagai jenis barangan perayaan termasuk pakaian raya, kuih tradisional, aksesori, kelengkapan rumah, produk kecantikan dan banyak lagi.
"Walaupun PICC dikenali dengan fasiliti bertaraf antarabangsa, kami memberi jaminan harga yang ditawarkan masih berpatutan. Malah, sewa lot niaga selama 33 hari di sini tidak membebankan peniaga, sekaligus membolehkan mereka menawarkan harga munasabah tanpa perlu mengejar keuntungan semata-mata," ujarnya.

Festival Gema Raya Putrajaya 2026 turut memikirkan pengalaman hiburan pengunjung dengan pembabitan ramai artis popular tanah air yang dijangka menggegarkan pentas pada hujung minggu terpilih.
Antara selebriti yang akan memeriahkan acara ini ialah penyanyi terkenal seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali, selain bukan kurangnya persembahan daripada Bella Astillah, Didie Shazry, Alpha dan ramai lagi.
"Kami mahu memberikan yang terbaik bukan sahaja kepada pengunjung, malah kepada usahawan. Kehadiran artis popular dan agamawan ini adalah penanda aras bagi kejayaan penganjuran Gema Raya Putrajaya pada masa akan datang," tambahnya.
Selain jualan dan persembahan artis, Gema Raya Putrajaya 2026 turut menampilkan program pengisian Nur Ramadan yang membabitkan tokoh agama, memberi ruang kepada pengunjung merasai aspek rohani serta penghayatan spiritual sepanjang bulan mulia ini.

Lebih menarik, festival ini turut menawarkan peluang memenangi sebuah kereta Proton e.MAS melalui cabutan bertuah khas untuk pengunjung, satu tarikan yang menambahkan keterujaan serta pengalaman unik kepada orang ramai sepanjang kempen berlangsung.
Pemilihan lokasi di PICC, sebuah fasiliti bertaraf antarabangsa yang berhawa dingin sepenuhnya dan mempunyai ruang luas, memudahkan pengunjung membeli-belah dan bersantai tanpa terjejas cuaca atau kepadatan bazar tradisional.
Pendekatan ini bukan sahaja memberikan pengalaman yang lebih selesa dan teratur, tetapi juga menggambarkan usaha penganjur dalam mentransformasikan festival perayaan moden yang bukan sekadar tempat jual beli, tetapi satu destinasi keluarga dan komuniti.