Sekilas
- Krisya mengakui kecewa selepas tersingkir pada konsert minggu kesembilan Gegar Vaganza 12 akibat masalah kesihatan yang menjejaskan persembahannya.
- Dia kehilangan fokus semasa menyanyi lagu ‘Hening Rindu’ dan percaya jika sihat sepenuhnya, persembahannya boleh jadi lebih baik.
- Krisya melihat pengalaman ini sebagai permulaan baru dalam karier seni dan tidak menganggap ia sebagai penamat.
Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Krisya, mengakui berasa kecewa apabila tersingkir pada konsert minggu kesembilan sekali gus gagal mara ke peringkat suku akhir program berkenaan.
Bagaimanapun kata Krisya, dia reda dengan keputusan itu dan dia sebenarnya sudah menjangkakan perkara tersebut berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan sejak beberapa minggu lalu.
“Rasa kecewa mesti ada tapi dalam masa yang sama saya tak terkejut juga sebab dari lagu Sembilu rasanya saya tak sihat, sakit tekak dan demam, jadi kesannya pada suara.
“Saya cuba bertahan dan jumpa doktor untuk ambil injeksion dan antibiotik tapi malangnya tidak pulih sepenuhnya,” ujarnya.
Krisya berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya konsert kesembilan GV12 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.
Mengulas mengenai persembahannya, Krisya mengakui kehilangan fokus seawal permulaan lagu yang disampaikan.
“Lagu ini ‘soft’ dan intro perlahan. Masa mula menyanyi, saya boleh dengar sorakan peminat lebih kuat daripada muzik.
“Dari situ saya jadi panik, hilang konsentrasi dan sepanjang lagu rasa macam tak stabil, macam hilang pertimbangan waktu saya menyanyi.
“Masa tengah menyanyi pun saya dah macam agak ini tidak akan berakhir dengan baik, itulah orang kata kurang bernasib baik.
“Sebenarnya lagu itu pernah saya nyanyikan sebelum ini dan dengan nada yang lebih tinggi ketika suara saya berada dalam keadaan baik.
“Saya rasa jika sihat sepenuhnya dan tanpa gangguan, persembahan itu boleh menjadi lebih baik. Ini bukan memberi alasan cuma pada saya ia akan jadi lebih baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Krisya menegaskan walaupun tersingkir namun dia itu bukanlah penamat karier seni, sebaliknya satu permulaan baharu buat dirinya.
“Saya tak nampak ini sebagai penamat. Gegar Vaganza ini orang kata baru permulaan. Dari sini kita dapat kumpul peminat dan mendekatkan diri semula dengan dunia seni.
“Saya ambil ini daripada sudut positif dan menang kalah itu adat pertandingan,” katanya.
Terdahulu, Krisya yang mendendangkan lagu Hening Rindu nyanyian asal Marsha Milan diumumkan sebagai bintang yang tersingkir dengan markah sebanyak 54.50%.
13 bintang Gegar Vaganza musim ini adalah Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura, Freshies (Ejie dan Shima), SHY8, Shae, Ruri Repvblik, Mendua (Pungky, Sasha & Diana) dan Iskandar Ismail.
Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.
Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
Gegar Vaganza 12 bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan.
Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan.
Layari www.astro.com.myatau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.