Skip to main content

Hiburan

Ezaidi Aziz Cuba Hadkan Babak Bersentuhan, Sanggup Bincang Dengan Pengarah Kurangkan Babak Sensitif - “Isteri Sangat Menyokong, Tapi Saya Cuba Limitkan…”

FVFD

Sekilas

  • Pelakon Ezaidi Aziz tidak meletakkan syarat ketat dalam pemilihan watak walaupun sudah berkahwin dan isterinya sangat menyokong kerjayanya.
  • Ezaidi lebih berhati-hati dalam memilih watak untuk menjaga keharmonian rumah tangga dan akan berbincang dengan pengarah jika perlu.
  • Beliau menolak tanggapan kerjaya artis akan perlahan selepas berkahwin dan percaya rezeki bergantung pada cara seseorang menguruskan kehidupan.

Pelakon Ezaidi Aziz mengakui tidak meletakkan sebarang syarat ketat dalam pemilihan watak meskipun sudah bergelar suami.

Menurut Ezaidi atau Mohammad Ezaidi Ab Aziz, 31, isterinya seorang yang sangat terbuka dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya lakonannya.

“Setakat ini tiada syarat, alhamdulillah. Isteri pun sangat menyokong saya dalam karier seni lakonan.

“Cuma saya sendiri, kalau boleh, cuba limitkanlah. Cuba elak mana yang mampu,” katanya ketika ditemui Gempak.

Bagaimanapun, pelakon drama Setiaku Berdiri itu menjelaskan dia tidak menyekat kerjaya seni secara keterlaluan, sebaliknya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan demi menjaga keharmonian rumah tangga.

“Kalau boleh, saya akan bincang dengan pengarah apa yang boleh dikurangkan supaya tak jadi isu atau apa-apa,” ujarnya.

Mengulas pandangan sesetengah pihak yang beranggapan kerjaya artis akan menjadi perlahan selepas berkahwin, Ezaidi tidak bersetuju dengan tanggapan tersebut.

Kata Ezaidi, soal perjalanan kerjaya selepas berkahwin bergantung kepada perspektif dan cara seseorang itu menguruskan kehidupan peribadi serta profesional masing-masing.

“Oh, saya tak setuju.Sebab ada sahaja kawan-kawan saya yang sudah berkahwin, tapi alhamdulillah rezeki mereka makin melimpah.

“Sekarang pun saya rasa, alhamdulillah, rezeki masih ada. Saya rasa benda itu atas perspektif masing-masing,” jelasnya.

Sebelum ini, Ezaidi Aziz selamat bergelar suami kepada Wan Afeeqah Wan Azmi dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Putra Glass Hall, Shah Alam pada awal tahun lalu. 

Menerusi perkembangan lain, Ezaidi kini membintangi drama bersiri 'Setiaku Berdiri' naskhah terbaharu terbitan Radius One diarahkan oleh Rashid Sibir . 

Selain Ezaidi drama tersebut dibintangi oleh Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina, Aidit Noh dan ramai lagi. 

Saksikan Setiaku Berdiri setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima atau strim di Astro GO dan sooka.

Must-Watch Video

Advertisement